Yang di-Pertuan Agong masih belum memutuskan siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, namun persaingan untuk kerusi nombor dua dilihat sudah bermula.
Dengan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dikatakan mungkin dilantik sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan baru, propaganda mula dimainkan dengan mendakwa timbalannya adalah dari Bersatu .
Antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, dan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Redzuan Md Yusof dan Azmin Ali.
Ketiga-tiganya adalah bekas menteri kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang diketuai Muhyiddin Yassin.
Menurut Utusan Malaysia, kumpulan yang mengaku sebagai penggerak awal Bersatu hari ini mendesak agar jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada parti itu.
Mereka mencadangkan Redzuan, yang merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, dilantik bagi jawatan itu.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibantu oleh seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu yang benar-benar faham tentang hala tuju tersebut.
“Calon yang difikirkan paling layak adalah Mohd. Redzuan yang mana beliau sebelum ini adalah Menteri Tugas-tugas Khas.
“Beliau juga antara pimpinan Bersatu yang paling awal membina parti bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau digelar sebagai pengasas 12. Sudah tentu Mohd. Redzuan antara orang yang amat faham perjuangan parti,” dakwa kenyataan berkenaan yang dipetik oleh Utusan.
Semalam, terdapat khabar angin bahawa persetujuan telah dicapai antara parti-parti politik bahawa Ismail akan dilantik sebagai perdana menteri manakala Hamzah sebagai timbalannya.
Namun, khabar angin itu disangkal seorang anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Abdul Latiff Ahmad, yang menyifatkan dakwaan itu merupakan usaha untuk mengganggu gugat perpaduan yang telah dicapai oleh parti-parti tersebut.
“Itu hanyalah fitnah untuk mengeruhkan perpaduan yang sedang dijalin oleh semua parti yang menyokong pencalonan (Ahli Parlimen) Bera," katanya, seperti yang dipetik oleh portal pnbbcportal.com.
Nama lain yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri ialah Azmin, yang sebelum ini bersama PKR sebelum menyertai Bersatu susulan krisis politik yang dicetuskan daripada Langkah Sheraton tahun lalu, yang menyaksikan kejatuhan Pakatan Harapan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong meminta semua anggota parlimen mengemukakan nama pilihan mereka untuk dilantik sebagai perdana menteri baru, berikutan pengunduran Muhyiddin pada Isnin lalu.
Tarikh tutup bagi para anggota parlimen mengemukakan Akuan Berkanun mereka ditetapkan pada jam 4 petang semalam, sebelum Seri Paduka memanggil 114 anggota parlimen yang dikatakan menyokong Ismail ke Istana Negara hari ini.
Difahamkan, Agong telah berkenan menerima menghadap anggota parlimen seorang demi seorang sejak pagi tadi untuk mengesahkan sokongan mereka.