Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Netizen kecam Annuar tak pakai pelitup muka lawat gerai makanan
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mencetuskan kontroversi pagi ini ketika dia memuat naik gambar di Twitter yang menunjukkan dia mengunjungi sebuah gerai makanan dengan tidak memakai pelitup muka.

"Berita terbaik dan dinanti-nantikan pagi ini.Saya terjumpa warung menjual Nasi Berlauk Air Dingin berhampiran rumah saya di Kuala Lumpur.

"Bukan itu saja, malah ada Nasi Tumpang dan Kuih Lompat Tikam. Penjualnya tak ada lesen. Mohon DBKL jangan tangkap," kata Annuar.

Pengguna media sosial dengan pantas menyorot bahawa Annuar tidak memakai pelitup muka yang diwajibkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, pada ciapan sebelumnya, Anwar memuat naik gambarnya memakai pakaian sukan.

Pakaian sukan itu sama dengan yang dipakainya pada ciapan mengenai gerai makanan itu.

 

Untuk rekod, orang ramai tidak perlu memakai pelitup muka ketika bersukan di kawasan berhampiran kediaman mereka, tetapi tetap diharuskan memakainya ketika berinteraksi dengan orang lain, selain mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

Malaysiakini telah menghubungi Annuar untuk mendapatkan ulasannya.

Annuar, yang juga Ahli Parlimen Umno untuk Ketereh, telah selesai menemui Agong sebelum tengah hari tadi.

Dia dan 113 ahli parlimen lain dipanggil ke Istana oleh Agong, yang dijangka untuk mengesahkan sokongan ahli parlimen terhadap Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Ini berlaku kerana partinya membentuk kerajaan baru dengan Ismail Sabri sebagai peneraju setelah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada hari Isnin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS