Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam gesa kerajaan baru teruskan pembaharuan institusi
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap perdana menteri dan kerajaan baru yang bakal dilantik akan dapat memberi penekanan terhadap pembaharuan institusi dan amalan tadbir urus yang baik.

Kata Suhakam, meskipun kerajaan baru nanti akan tertumpu terhadap usaha menangani Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat, hak asasi manusia juga harus dijadikan teras utama dalam pelaksanaan tanggungjawab kerajaan baru itu.

Katanya, ia dapat dilakukan menerusi strategi tersusun untuk seboleh mungkin mempromosi, melindungi dan menyokong isu hak asasi manusia.

“Suhakam ingin menegaskan bahawa hak asasi manusia tidak seharusnya menjadi agenda sampingan dan kerajaan yang bakal memerintah perlu menunjukkan komitmen untuk menghormati maruah manusia dan kebebasan asasi sepertimana yang dinyatakan di bawah Perkara 5-13 Perlembagaan Persekutuan,” kata Suhakam dalam kenyataan hari ini.

Dengan cara itu, kata Suhakam, sasaran Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia dapat dicapai dan seterusnya memulihkan harapan rakyat serta menyuburkan amalan demokrasi.

Kenyataan itu di tengah-tengah proses mengesahkan sokongan terhadap calon perdana menteri bagi menubuhkan kerajaan baru.

Sebelum meletakkan jawatan akibat hilang majoriti, Muhyiddin Yassin - kini perdana menteri sementara - membuat tawaran kepada pihak pembangkang untuk merealisasikan reformasi institusi dan tadbir urus, yang selama ini banyak dibangkitkan PH.

Namun, setelah tawaran itu ditolak pembangkang, Muhyiddin meletakkan jawatan dan negara kini sedang menanti calon perdana menteri baru yang akan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan budi bicara baginda.

Suhakam juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kementerian dan ahli parlimen dengan mengemukakan cadangan, selari dengan mandat yang diberikan di bawah peruntukan undang-undangnya untuk menasihati kerajaan berkenaan dengan isu-isu hak asasi manusia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS