Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | PRU akan diadakan selepas Covid-19 terkawal - Ahmad Maslan

LANGSUNG | Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima menghadap 114 ahli parlimen hari ini , yang sebelum ini sebahagian atau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam sesi hari ini, Agong dijangka mengesahkan sokongan mereka terhadap Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Malaysiakini melaporkan perkembangan ini secara langsung.


PRU selepas wabak terkawal - Ahmad Maslan

3.30 petang: Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan mengulang dakwaannya bahawa Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob telah mendapat sokongan 114 ahli parlimen, dan kemenangan sudah dalam tangan.

Ahmad juga membari jaminan rakyat akan berpeluang mengundi untuk kerajaan baru selepas wabak Covid-19 terkawal.

"Bila keadaan telah stabil, ada imuniti kelompok dan (kes) Covid-19 berkurang, yang tak berapa lama (lagi) pada pandangan saya, kita akan kembalikan mandat kepada rakyat," katanya kepada pemberita.

Dia yang juga setiausaha agung Umno berkata, kerajaan baru akan memberi tumpuan kepada usaha melawan wabak dan memulihkan ekonomi.


Baca: Agong mahu pastikan 114 MP tak sokong Ismail di bawah tekanan


2.50 petang: Perdana menteri sementara, Muhyiddin Yassin masuk ke Istana Negara melalui Pintu 1.

Muhyiddin merupakan individu penting dalam meningkatnya kedudukan Ismail, apabila melantik naib presiden Umno itu sebagai perdana menteri pada bulan lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Eddin Syazlee Shith semalam berkata, terdapat cadangan untuk melantik Muhyiddin sebagai menteri mentor ketika perbincangan bersama BN tetapi perkara itu belum dimuktamadkan.

2.40 petang: Delegasi PAS yang terdiri daripada 18 ahli parlimen tiba di Istana Negara.

Terdahulu, Azmin dan sekumpulan lagi wakil rakyat turut tiba dengan menaiki bas berbeza.

Azmin dan PAS adalah sebahagian daripada kumpulan terakhir yang dijadual menghadap Agong hari ini.

Muhyiddin Yassin - kini perdana menteri sementara - juga dijadualkan menghadap bersama kumpulan ini tetapi masih belum tiba.

2.26 petang: Sebuah lagi bas yang membawa ahli parlimen Umno dan BN tiba di Istana Negara.

Antara yang dilihat dalam bas tersebut adalah Presiden MCA Wee Ka Siong.

Dipercayai kumpulan ini merangkumi 21 ahli parlimen - kebanyakannya dari BN - termasuk Hishammuddin Hussein (Sembrong) Azalina Othman Said (Pengerang) dan M Saravanan (Tapah).

2.20 petang: Bas yang membawa ahli parlimen Bersatu, termasuk timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu, beredar dari Istana.

Zahid juga selesai menghadap dan melambaikan tangannya kepada media ketika beredar.

1.50 tengah hari: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Negara.

Dia tiba secara berasingan, tidak bersama delegasi Umno.

1.20 tengah hari: Ismail Sabri Yaakob tiba di istana, menaiki bas bersama ahli parlimen Umno yang lain.

Pemimpin Umno lain yang dilihat termasuk Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said.


1 tengah hari: Sebuah bas yang membawa ahli parlimen Bersatu telah tiba di istana.

Antara yang berada di dalamnya ialah Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamaed.

Perwakilan Umno termasuk calon perdana menteri Ismail Sabri Yaakob juga dikatakan dalam perjalanan.


GPS terus membisu

12.30 tengah hari - Bercakap kepada wartawan di Kuching, Sarawak, Ahli Parlimen Petrajaya, Fadillah Yusof mengatakan bahawa 17 anggota parlimen GPS, bersama dengan anggota Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, telah menghadap Agong secara maya hari ini.

Fadillah mengatakan mereka menghadap satu persatu untuk mengesahkan akuan berkanun (SD) mereka, dan bahawa ia ditandatangani secara sukarela.

Namun, pemimpin GPS sekali lagi menolak untuk mendedahkan siapa yang disokong oleh gabungan itu, dengan mengatakan bahawa terpulang kepada Agong untuk dedahkan.

Sementara itu, Fadillah mengatakan bahawa Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing akan menghadap Agong secara fizikal, kerana dia kini berada di Kuala Lumpur.


11.50 pagi: Lebih ramai ahli parlimen dilihat beredar dari Istana Negara.

Kumpulan seterusnya - juga melibatkan 25 ahli parlimen dengan kebanyakannya dari Umno dan Bersatu - dijadual menghadap Agong pada pukul dua petang.

11.35 pagi: Ahli Parlimen Pekan Najib Razak meninggalkan Istana Negara, dipercayai menuju ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Dia sepatutnya berada di mahkamah pada pukul 9.30 pagi tadi untuk perbicaraan kes rasuah 1MDB.

Selepas Najib, turut kelihatan beberapa ahli parlimen Umno meninggalkan istana, termasuk Annuar Musa (Ketereh).

Muhyiddin, Azmin, Najib antara kumpulan kedua menghadap Agong

10.40 pagi: Bas-bas yang membawa sejumlah MP serta beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) tiba di Istana Negara.

Antara yang dilihat dalam bas itu adalah dua ahli parlimen Umno, Salim Sharif (Jempol) dan Shahidan Kassim (Arau).

Kumpulan kedua ini - seramai 25 orang - merangkumi ahli parlimen Bersatu, Umno dan bebas.

Mereka termasuklah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (Pagoh), Azmin Ali (Gombak), Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Larry Sng (Julau), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Najib Razak (Pekan).

Sng menaiki bas kedua - dipercayai membawa ahli parlimen Bersatu - yang tiba tidak lama selepas bas yang membawa ahli parlimen Umno.

Terdahulu, senarai menunjukkan Muhyiddin dan Azmil dijadual menghadap pada pukul 11 pagi, namun senarai kemas kini menyatakan mereka akan menghadap di sebelah petang.

10.10 pagi: Setakat ini tiada pergerakan ahli parlimen memasuki Istana Negara, menandakan sesi menghadap wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak berkemungkinan besar dibuat menerusi telesidang.

Antara tokoh yang tiba di Istana Negara sebentar tadi adalah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara Idrus Harun.

Sementara itu, pembangkang menyatakan mereka tidak menerima jemputan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sesi menghadap dimulakan dengan MP Sabah dan Sarawak

9.30 pagi: Kumpulan pertama ahli parlimen - seramai 24 orang - yang dijadual menghadap Agong adalah daripada Sabah dan Sarawak.

Ia termasuk 18 orang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lima orang dari Bersatu Sabah.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka mengadap Agong di Istana Negara atau melalui telesidang.

Semalam, terdapat keraguan sama ada GPS akan menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri, selepas gabungan itu enggan mendedahkan nama yang dihantar mereka kepada Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS