Ciapan Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS untuk mengucapkan tahniah kepada Taliban di Afghanistan atas penguasaan mereka ke atas negara itu sengaja dipadamkan petang tadi.
Ciapan tersebut dimuat naik di Twitter selama kira-kira dua jam sebelum diturunkan tidak lama selepas dilaporkan Malaysiakini.
Pegawai Penerangan PAS, Mohd Shahir Abu Hassan, memberitahu Malaysiakini ciapan berkenaan dipadamkan sendiri oleh Twitter, dan mendakwa Facebook juga telah menurunkan hantaran tersebut kerana dinilai melanggar piawaian masyarakat penyedia media sosial berkenaan.
"Sehubungan itu pihak kami mengambil keputusan untuk menarik balik posting (hantaran) kami di semua platform media sosial bagi mengelak disekat oleh platform-platform media sosial lain," katanya.
Bagaimanapun kenyataan berkenaan masih disiarkan portal rasmi PAS, harakahdaily.
Dalam kenyataan dikeluarkan itu, PAS menganggap penguasaan Taliban itu sebagai suatu "kemerdekaan" buat rakyat dan negara terbabit daripada cengkaman penjajahan.
Pengerusi lajnah tersebut, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kemenangan dan "kemerdekaan" yang dicapai kali ini adalah hasil usaha seluruh rakyat Afghanistan dalam usaha untuk membebaskan tanah air mereka yang dijajah dan diceroboh selama 20 tahun.
Khalil menambah dengan "kemenangan" itu PAS berharap semua pihak yang berkaitan dapat berganding baru membangunkan semula negara berkenaan.
Kata Adun Batu Buruk itu Taliban dan rakyat Afghanistan diharap mencapai kata sepakat untuk berdamai bagi meletakkan kembali negara berkenaan di landasan yang betul.
Kumpulan Taliban menguasai Kabul sejak 16 Ogos lalu sekali gus menyempurnakan penguasaan mereka ke atas negara berkenaan selepas memulakan gerakan tersebut dari satu wilayah ke wilayah lain tanpa banyak tentangan beberapa bulan lalu.
Sejurus sebelum Taliban memasuki Kabul, Presiden Afghanistan Mohammad Ashraf Ghani Ahmadzai meninggalkan negara tersebut untuk ke lokasi yang sehingga kini belum disahkan.
Ashraf - bekas pensyarah universiti di AS - mendakwa dia meninggalkan Afghanistan bagi mengelakkan pertumpahan darah. Menjelang pemergiannya kumpulan Taliban sudah berada di pinggir Kabul dan bersedia untuk memasuki ibu negara Afghanistan berkenaan.
Kemasukan Taliban ke Kabul kelmarin berlangsung secara aman.
Taliban kali ini dianggap lebih sederhana berbanding kumpulan yang mentadbir Afghanistan pada 1996 apabila mereka melaksanakan peraturan yang konservatif.
Bagaimanapun kemasukan Taliban juga menyaksikan sebahagian orang awam berpusu-pusu cuba meninggalkan Afghanistan termasuk dengan cara yang amat terdesak.
Khalil berkata kerajaan baru Afghanistan dan rakyat negara itu diharap dapat bersama-sama memajukan negara terbabit berasaskan nilai Islam.
"Semoga kerajaan baru Afghanistan dan rakyatnya berganding bahu dan berkerjasama membangunkan negara seterusnya memperolehi kemakmuran, keamanan dan kemajuan selepas ini dengan berpandukan syariat dan nilai-nilai Islam yang syumul di samping mendapat rahmat, keberkatan dan pertolongan Allah SWT," katanya.