Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu akan sokong Ismail Sabri sebagai PM, kata Eddin

Semua 35 ahli parlimen Bersatu telah dinasihatkan oleh presiden parti Muhyiddin Yassin untuk menyokong Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baru.

Bercakap kepada Malaysiakini, anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Eddin Syazlee Shith berkata, kepimpinan parti sebelum ini memutuskan bahawa presiden akan menentukan pilihan perdana menteri bagi pihak ahli parlimen.

"Kami semua setuju bahawa kita akan menyokong Ismail Sabri. Itulah nasihat  yang diberikan oleh presiden kepada kami," kata Eddin, yang juga merupakan ahli parlimen Kuala Pilah.

Semua ahli parlimen mempunyai masa sehingga jam 4 petang hari ini untuk menyatakan secara bertulis, kepada Istana Negara mengenai siapa yang disokong mereka sebagai perdana menteri kesembilan. Muhyiddin melepaskan jawatan itu pada Isnin lalu susulan penarikan sokongan daripada 15 ahli parlimen Umno.

Malam semalam, ahli parlimen Umno memutuskan bahawa mereka akan menyokong Ismail Sabri untuk menjadi perdana menteri.

Eddin berkata, bahawa selain pemilihan perdana menteri, dia tidak tahu tentang tajuk perbincangan lain seperti pembentukan kabinet baru.

Mengenai jawatan timbalan perdana menteri, Eddin mengatakan dia difahamkan bahawa Bersatu masih belum membuat keputusan.

"Setiausaha agung Hamzah Zainudin dan ahli majlis tertinggi Azmin Ali disebut-sebut (sebagai calon yang mungkin)," tambahnya.

Sementara itu, pejabat Hamzah menafikan bahawa Setiausaha Agung Bersatu telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan parti itu akan mempertimbangkan calon perdana menteri dari kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Umno bukan salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Mengenai apakah bekas timbalan presiden PKR Azmin - tokoh penting dalam "Sheraton Move" yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 - akan dijadikan menteri, Eddin mengatakan dia tidak mengetahui perkara ini.

Eddin percaya bahawa Azmin dan pengikutnya bertekad untuk menyokong keputusan parti itu untuk memberikan Muhyiddin budi bicara muktamad mengenai rundingan dengan anggota gabungan lain.

Ini kerana dinamik gabungan sekarang berbeza dengan era PN.

"Ini mungkin 'BN plus'. Sekarang BN dan PN. Lebih besar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS