Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja-raja Melayu bertemu Jumaat ini - laporan
Diterbitkan:  Aug 18, 2021 9:41 AM
Dikemaskini: 1:41 AM

Yang di-Pertuan Agong dijangka mengadakan satu pertemuan khas dengan raja-raja Melayu pada Jumaat ini bagi membincangkan berkenaan calon perdana menteri baru, lapor akhbar berbahasa Inggeris The Star.

“Satu perjumpaan khas raja-raja Melayu akan diadakan pada Jumaat ini di Istana Negara, di mana Yang di-Pertuan Agong mungkin berkongsi keputusan 220 ahli parlimen dalam memilih perdana menteri.

“Memandangkan keputusan genting yang harus baginda lakukan, perjumpaan dengan raja-raja Melayu itu adalah penting, lebih-lebih lagi jika bilangan (pilihan calon perdana menteri) terlalu sengit. Perjumpaan antara raja-raja bermula jam 2.30pm,” lapor The Star, memetik sumber istana.

Semalam, Agong berjumpa dengan semua pemimpin parti politik.

Baginda juga, menerusi speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, menitahkan semua ahli parlimen menghantar nama perdana menteri pilihan mereka selewat-lewatnya jam 4pm, bagi mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Isnin.

Selepas perjumpaan dengan Agong, parti-parti politik dilaporkan mengadakan pertemuan bagi memuktamadkan soal calon, antaranya Ismail Sabri Yaakob untuk calon Umno - yang dijangka turut disokong Bersatu, PAS dan GPS.

Terdahulu di pihak pembangkang, nama ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan Shafie Apdal timbul dengan Anwar dilaporkan menjadi pilihan pertama calon perdana menteri, dengan faktor penentu dalam memuktamadkan calon adalah siapa yang dapat mengumpul majoriti.

Sumber turut menyifatkan keputusan Agong meminta ahli parlimen menghantar nama calon perdana menteri pilihan mereka secara langsung sebagai langkah yang betul.

“Pernah terjadi kes di masa lepas, ahli parlimen diketahui mempunyai lebih daripada satu SD (akuan bersumpah) dalam akuan sokongan mereka.

“Akibatnya, orang ramai sudah tidak percaya lagi dokumen-dokumen ini. Jadi, istana mahu pastikan hal ini dibuat dengan betul," kata sumber.

Muhyiddin kini menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri sementara. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS