Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas undur, Muhyiddin kongsi kisah 'perang' melawan Covid-19
Diterbitkan:  Aug 17, 2021 11:26 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Muhyiddin Yassin memegang tampuk kuasa ketika kluster besar Covid-19 pertama negara mula merebak susulan perhimpunan keagamaan di Sri Petaling. Ketika dia akhirnya melepaskan jawatan 17 bulan kemudian, pandemik itu sudah beralih ke tahap yang jauh berbeza.

Bercakap kepada editor media arus perdana selepas menyerahkan peletakan jawatannya, Muhyiddin memberitahu bahawa seluruh masa perkhidmatannya adalah berkisar tentang Covid-19.

“Pada masa itu, isu Covid-19 baru bermula dan saya tidak pun membayangkan yang ia akan sampai ke tahap ini.

“Dalam 18 bulan lepas, kerajaan saya (buat) banyak kerja, tetapi ia sentiasa tentang Covid-19,” katanya, dengan menyifatkan kerajaannya sebagai “kabinet pengurus Covid-19”.

Muhyiddin berkata dia sedih untuk meninggalkan pejabatnya kerana dia masih ingin menyelesaikan tugasnya, namun pada masa sama, dia mengaku amat penat mengetuai 'perang' melawan wabak itu.

“(Saya) sedih sehingga ke tahap saya fikir saya boleh buat lebih lagi - kalaulah saya masih lagi menjadi perdana menteri.

“Saya mahu tamatkan semuanya sehingga ke akhirnya untuk melihat apa yang telah kami mulakan - kami (patut) tamatkan semuanya meskipun (kami) letih, sangat-sangat penat.

“Saya, pasukan saya dan penjawat awam yang lain, telah bekerja dengan sangat keras,” katanya kepada para editor semalam selepas menghantar peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Malaysiakini menerima rakaman perjumpaan tersebut.

Muhyiddin berkata kabinetnya telah bekerja bertungkus-lumus tanpa henti.

“Tak ada ahli kabinet saya yang layak ambil cuti, ambil sebarang cuti (mereka). Kalau pun ambil sekejap, on call, macam doktor juga.

“Saya pun on call; bukan saya saja, ketua pengarah kesihatan pun on call, menteri kesihatan pun on call, Khairy (Jamaluddin) pun on call, Ismail (Sabri Yaakob) pun on call, Hamzah (Zainuddin) pun on call, dan bila kita dapat panggilan, kita tahu ia tentang apa - topiknya ialah Covid-19,” katanya.

Kerajaan PN tak gagal

Muhyiddin percaya meskipun dengan situasi semasa Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan kerja dengan baik.

Dia berulang kali menepis kritikan bahawa kerajaan pimpinannya itu telah gagal.

“Saya tak mahu bersikap politikal tentang ini, tetapi #KerajaanGagal adalah terbukti tidak benar. Menguruskan Covid-19 bukanlah mudah dan saya fikir sehingga sekarang kita telah menyelamatkan berjuta nyawa.

“Ribuan orang meninggal dunia kerananya (Covid-19), perkara seumpama itu yang selalu diperhatikan orang, tetapi kini orang ramai mula sedar yang kami telah menyelamatkan jutaan nyawa.

“Menyelamatkan nyawa bermakna menyelamatkan negara, dan saya boleh katakan, kami telah lakukan sehabis daya (dalam mencapai soal itu),” katanya. 

Ahli parlimen Pagoh itu turut mengakui yang dia tidak banyak bercakap kepada media selepas menjadi perdana menteri, tetapi katanya, itu disebabkan kerja yang terlalu banyak menanti untuk dibereskan, akibat Covid-19.

“Setiap minit, nyawa dalam bahaya. Kamu tunggu sehingga petang, jam 5 petang (waktu data Covid-19 lazimnya disiarkan), kamu akan tahu berapa ramai orang terkorban - di kawasan kamu, ahli keluarga kamu, abang kamu, kakak kamu …”

Rasa bertanggungjawab atas kematian

Setakat semalam, seramai 12,784 orang meninggal dunia kerana Covid-19. Muhyiddin berkata dia berasa bertanggungjawab atas kematian yang berlaku.

“Saya rasa bertanggungjawab kalau baca berita kes kematian (Covid-19), bunuh diri. Dari satu sisi, saya bertanggungjawab. Saya tak suka hal sebegitu terbeban di bahu saya, tetapi sebagai perdana menteri, saya harus galas,” katanya.

Bagaimanapun, kata ahli parlimen Pagoh itu, kini sudah ada petanda yang menunjukkan situasi pandemik semakin beransur baik.

 

“Saya percaya apa yang kami telah lakukan dalam tempoh masa yang sangat singkat akan ditulis oleh ahli sejarah, dan kita kini hampir berada di tahap di mana keadaan sedang menjadi bertambah baik dan baik.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang tak dapat dinafikan sesiapa,” katanya.

Ketika Muhyiddin mengangkat sumpah menjadi perdana menteri pada 1 Mac tahun lalu, negara mencatatkan jumlah kes keseluruhan Covid-19 sebanyak 33 kes, dengan 11 daripadanya kes aktif. Tiada kematian dicatatkan akibat virus SARS-CoV-2 pada masa itu.

Muhyiddin meninggalkan pejabatnya semalam di kala kes kumulatif Covid-19 mencecah 1,424,649 kes, dengan 249,277 daripadanya masih lagi aktif.

Setakat 15 Ogos, 45.9 peratus daripada populasi dewasa negara sudah divaksinasi penuh, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Sejumlah 72.9 peratus daripada populasi dewasa negara sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, peratusan itu adalah berdasarkan angka bancian daripada tahun 2010 dan tidak mengambil kira populasi tanpa dokumen.

Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hanya mempunyai 100 sokongan ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti.

Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat, tidak termasuk dua kerusi kosong. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS