Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuasa sebagai PM sementara terbatas, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin hari ini berkata dia akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara, sebagaimana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Ia adalah tugas yang terhormat, dan saya akan terus jalankan tugas sebagai perdana menteri (sementara) bagi membantu negara,” katanya dalam satu pertemuan dengan para editor kanan media di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Muhyiddin yang menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri tengah hari tadi kepada Yang di-Pertuan Agong berkata, dia akan memikul tanggungjawab itu dan berharap lantikan penggantinya dibuat secepat mungkin.

Mengulas lanjut, katanya apabila Yang di-Pertuan Agong meminta dia meneruskan tugas sebagai perdana menteri sementara, Muhyiddin berkata dia terus merujuk kepada Peguam Negara Idrus Harun mengenai bidang tugas itu.

"Saya telah mendapatkan pandangan peguam negara yang kemudiannya menyatakan bahawa saya boleh menjalankan fungsi eksekutif dan menasihati Yang di-Pertuan Agong sehingga perdana menteri yang baharu dilantik.

Apabila ditanya sama ada barisan jemaah menteri akan dikekalkan sebagai kabinet sementara, Muhyiddin bekata setahunya hanya dia seorang yang akan menjalankan tugas.

"It is a one man show," katanya secara berseloroh.

Mengenai tanggungjawab dan kuasa sebagai Perdana Menteri sementara, Muhyiddin berkata ada keterbatasan kuasa, tidak seperti sebelum ini (menjadi perdana menteri).

"Sebagai contoh, saya tidak boleh tanda tangan cek bernilai RM1 billion. Saya perlu rujuk dan ikut nasihat Peguam Negara," tambahnya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS