Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri telah berhubung dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri yang baru, menurut Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya.
Mengesahkan perkara itu, Marzuki berkata Ismail berjumpa dengan Mahathir di rumah bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan, Selangor sekitar pukul empat petang tadi.
Pertemuan itu berlangsung selama 30 minit, katanya.
Bagaimanapun, kata Marzuki, jawapan Mahathir kepada Ismail adalah sama seperti yang diberikan kepada Setiausa Organisasi DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang turut menghubunginya beberapa minggu lalu bagi pihak Presiden PKR Anwar Ibrahim.
"Apa yang Tun cakap kepada Ismail Sabri sama dengan (kepada) Loke dn Mat Sabu.
"Fokus utama Pejuang adalah masalah negara yang melimpah - Covid-19, ekonomi, sosial dan pendidikan," katanya yang turut hadir dalam pertemuan petang tadi.
"Apa yang Tun minta agar Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat ditubuhkan," katanya lagi.
Marzuki berkata, tidak pelik untuk mana-mana pihak meminta sokongan daripada Mahathir dan dia akan menerima mereka sebagai tetamu.
Mahathir konsisten mengajukan penubuhan MPN - satu badan seakan Mageran yang mentadbir negara selepas tragedi 13 Mei 1969 sehingga 1971.
Ketika itu, Parlimen digantung dan Mageran yang merangkumi lapan anggota mentadbir dengan kuasa darurat.
Bagaimanapun, MPN yang dicadangkan Mahathir tidak menggantung Parlimen.
"Keutamaan Pejuang adalah masalah kesihatan dan ekonomi yang begitu ketara dihadapi rakyat, bukan tentang soal nak pilih perdana menteri.
"Kalau kita pilih perdana menteri pun, talau tak dapat selesaikan masalah negara dan rakyat, tak ada guna juga," katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu pemberita di Petaling Jaya yang dia menerima maklumat Ismail - yang dalam usaha mendapatkan sokongan - telah menghubungi Mahathir.
Dia bagaimanapun berkata tiada perincian lanjut berkenaan perkara itu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkan akan meletakkan jawatan esok.
Muhyiddin hilang majoriti selepas 15 ahli parlimen Umno - diketuai presiden Ahmad Zahid Hamidi - menarik balik sokongan mereka.