mk-logo
Berita
Terima tawaran PM, usah biarkan penyakit rasuah berkuasa lagi - Hadi
Diterbitkan:  Aug 15, 2021 9:32 AM
Dikemaskini: 5:57 AM

Ketika kesan daripada pandemik Covid-19 terus dirasai, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang, keutamaan untuk negara ini ialah perpaduan sebagai jalan penyelesaian, bukannya perebutan kuasa semata-mata.

Pada masa sama, katanya, wabak rasuah juga menjadi titik pertemuan semua pihak kerana iai tidak boleh diterima, justeru ia wajar disekat daripada berleluasa lagi.

"Maka, janganlah didahulukan untuk mendapatkan kuasa sehingga punca penyakit rasuah dibiarkan berkuasa lagi. 

"Tawaran perdana menteri kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan bersama untuk kerajaan terkini supaya (diberikan) masa untuk menyelesaikan masalah sepatutnya diterima secara positif," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial pagi ini.

Abdul Hadi yang juga duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu menambah selepas mengalami "kemelut kerajaan dulu yang bermasalah" maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) patut diberi masa agar dapat menyelesaikan isu bersama.

Apabila keadaan mengizinkan, kata Abdul Hadi, barulah kerajaan mengembalikan hak rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan.

"Janganlah disebabkan tidak boleh bersabar seketika, kita akan menerima padah dan masalah yang lebih besar dan lebih berat untuk dipikul," katanya.

Kedudukan kerajaan PN - yang turut dianggotai PAS - ketika ini menjadi tanda tanya selepas pemimpinnya, Muhyiddin Yassin, diyakini kehilangan sokongan majoriti di parlimen.

Ia berlaku selepas Umno - yang menjadi rakan PAS secara rasmi melalui Muafakat Nasional - mengarahkan ahli parlimen mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan PN.

Cukuplah jadi pengajaran

Walaupun tidak semua ahli parlimen mematuhi arahan berkenaan, ia diyakini cukup untuk membuatkan Muhyiddin kehilangan dukungan majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus keabsahannya sebagai perdana menteri dipertikaikan.

Dalam keadaan begitu kelmarin Muhyiddin menawarkan 'jalan damai' kepada semua pihak untuk bersama-sama menghadapi usul percaya kepada dirinya yang dijadual dibentangkan di parlimen tidak lama lagi.

Presiden Bersatu itu membuat pelbagai tawaran yang jelas disasarkan kepada ahli parlimen pembangkang. Misalnya menaikkan taraf ketua pembangkang sebagai penerima manfaat setara dengan menteri kanan, menyalurkan peruntukan yang sama untuk kawasan mereka.

Muhyiddin juga menjanjikan pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan seseorang ahli parlimen menjadi perdana menteri kepada dua penggal saja.

Turut ditawarkan, pelaksanaan Undi 18 secara automatik. Untuk rekod langkah itu pernah disokong PAS semasa parti itu menjadi pembangkang, namun tidak dipersetujui Abdul Hadi - apabila mereka sudah menjadi kerajaan - atas alasan negara ini tidak boleh terikut-ikut dengan pengaruh barat

Ahli parlimen Marang itu juga berhujah, usia 18 tahun belum membuat seseorang itu matang untuk memilih kerajaan.

Di sebalik pelbagai tawaran Muhyiddin itu, pembangkang dan Umno mengkritik ahli parlimen Pagoh itu kerana menganggap dia sebenarnya menawarkan rasuah secara terang-terangan sebagai imbalan menyokong usul percaya di parlimen.

Pentadbiran kerajaan yang "lama memerintah" sebelum ini, kata Abdul Hadi, sepatutnya menjadi pengajaran kepada orang ramai apabila ia menimbulkan masalah.

"Cukuplah menjadi pengajaran kepada rakyat terhadap kerajaan yang telah lama memerintah, sehingga mereka dibejati dengan penyakit rasuah," katanya.

Tambah Abdul Hadi lagi, rakyat kemudian membuat perubahan dengan memberikan mandat kepada "sebuah kerajaan yang menawaran pelbagai janji" namun mereka - dipercayai merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) - didakwanya merombak "asas perlembagaan dan kedaulatan Islam."

Duta khas bertaraf menteri itu juga berkata negara sedang menghadapi wabak yang mengancam nyawa rakyat dan memberi kesan besar terhadap kehidupan.

Tiba-tiba katanya hari ini kerajaan PN diganggu oleh pihak "yang ingin merampas kuasa" selepas mereka sebelum ini menjadi masalah dan pernah gagal mengatasinya.

Menurut Abdul Hadi, kerajaan PN diberikan peluang dalam tempoh yang sepatutnya.

Pendekatan menghulur tangan kepada semua pihak itu, katanya, wajar disambut tanpa mempedulikan sebarang perbezaan, malah diutamakan mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok tertentu saja.

"Hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja tidak akan mempedulikan keadaan rakyat yang perlu diselamatkan sekarang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS