Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu minta Syed Saddiq namakan MP dapat sokongan majoriti
Diterbitkan:  Aug 14, 2021 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Pemimpin Bersatu meminta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamakan pemimpin yang dirasakannya mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman turut menuntut jaminan pembangkang bahawa tiada pertikaian jika Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri interim.

"Persoalan yang wajar dijawab oleh pembangkang seperti Syed Saddiq ini ialah siapa calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat jika mahu lihat Muhyiddin tumbang sekarang?

"Adakah Dr Mahathir (Mohamad)? Adakah Anwar Ibrahim? Adakah Ahmad Zahid Hamidi? Adakah Tengku Razaleigh (Hamzah)? Atau adakah Najib (Razak) kembali?

"Itu yang majoriti rakyat mahu tahu. Apa jaminan pula jika Yang di-Pertua Agong melantik perdana menteri interim maka tiada pertikaian di pihak pembangkang?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata dia tidak akan meletakkan jawatan kerana ketika ini tiada seorang pun ahli parlimen dapat membuktikan mempunyai majoriti cukup untuk menjadi perdana menteri baru. 

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, perdana menteri yang baru tidak boleh dilantik menurut perlembagaan.

“Apabila perdana menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baru tidak dapat dibentuk,” katanya dalam ucapan khas semalam.

Sebelum itu Muhyiddin - yang kini berdepan pertikaian mengenai keabsahan jawatan perdana menteri dan kerajaan PN - menyatakan rasa dukacitanya atas perkembangan politik negara.

Katanya, ketika memikul tanggungjawab berat mengurus pandemik Covid-19 yang luar biasa sejak lebih setahun lalu dia mengharapkan sokongan semua pihak termasuk anggota kabinet dan ahli parlimen.

Muhammad Faiz turut mencabar Syed Saddiq supaya menamakan kerajaan yang pernah memberi peruntukan kepada pembangkang sebelum kehadiran Perikatan Nasional (PN).

"Cuba beritahu sebelum kerajaan PN ini muncul, kerajaan Malaysia mana yang pernah menawarkan peruntukkan tahunan kepada ahli parlimen pembangkang setara dengan apa yang diperolehi ahli parlimen kerajaan? Pernah dengar orang putih kata better late than never?

"Masalah dengan sikap pembangkang yang mengada-ngada ini ialah jika mereka tidak ditolong, maka dituduhnya kerajaan ini zalim, digunanya modal kononnya bantuan untuk rakyat disekat pula, tetapi apabila kerajaan hulur tawaran, dituduhnya pula berhelah.

"Tawaran perdana menteri semalam bukan demi kerajaan atau pembangkang, tetapi demi negara dan rakyat yang belum bersedia untuk hadapi pilihan raya umum (PRU) dalam waktu terdekat andai kerajaan PN tumbang. Faham?" katanya lagi.

Katanya, tawaran Muhyiddin cukup ringkas dan mudah difahami iaitu semua perlu bersatu menghadapi musuh negara yang satu iaitu Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS