mk-logo
Berita
Zahidi, Tajuddin baru tahu tawaran Muhyiddin untuk parti luar PN

Tawaran Muhyiddin Yassin kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan rentas pati bagi membolehkan dia kekal sebagai perdana menteri tidak dimaklumkan lebih awal, kata seorang timbalan menteri dari Umno.

Bahkan, kata Zahidi Zainul Abidin, ia hanya diketahui oleh mereka semasa Muhyiddin menyampaikan ucapan secara langsung dan dipancarkan ke seluruh negara lewat petang semalam.

"Kita pun baru tahu.... Jadi, sekarang ini kita nak tengok kerjasama (yang dicadangkan Muhyiddin) itu bagaimana," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Justeru kata timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu, mereka akan mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan tawaran presiden Bersatu berkenaan.

"Mungkin Ahad ini kita adakan perbincangan," katanya.

Zahidi yang juga ahli parlimen Padang Besar bagaimanapun berkata, lokasi dan waktu pertemuan berkenaan belum diputuskan.

Untuk rekod Zahidi adalah antara ahli parlimen Umno yang sebelum ini cenderung mahu meneruskan sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sebalik keputusan majlis kerja tertinggi partinya yang berpendirian sebaliknya.

Semalam Muhyiddin mengemukakan 'tawaran damai' kepada semua ahli parlimen dalam usahanya mendapatkan sokongan kepada usul percaya yang dijadual dibentangkan di parlimen tidak lama lagi.

Yakin DAP, Anwar tak termasuk

Antara lain ahli parlimen Pagoh itu membuka pintu kepada mana-mana parti atau ahli parlimen pembangkang - termasuk DAP dan Anwar Ibrahim - bekerjasama dengan beberapa balasan untuk mereka.

Sebelum ini Umno menegaskan mereka enggan menerima DAP serta Anwar dengan slogan "no DAP, no Anwar".

Zahidi berkata apa yang diumumkan Muhyiddin semalam juga tidak jelas, termasuk bentuk kerjasama yang dimahukannya.

"Kita tak tahu, kerjasama sebagai pembangkang atau kerjasama sebagai kerajaan. Jadi, kita akan lihatlah itu dan kita akan adakan perbincangan.

"Disebabkan sekarang ini ia baru perbincangan, jadi kita akan lihat lagi ke depan," katanya.

Gambar fail

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang dihubungi Malaysiakini berkata dia juga tidak jelas kerjasama yang bagaimana dimahukan Muhyiddin itu.

"Perdana menteri dah buat pengumuman seperti satu bentuk kerjasama, tapi saya tak jelas apa bentuk kerjasamanya.

"Adakah DAP akan masuk PN atau macam mana? Adakah maknanya dia ajak semua orang bekerjasama untuk kepentingan negara dalam bentuk yang macam mana, (kami) nak kena minta penjelasan," katanya.

Bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia itu yang turut menyokong Muhyiddin sebelum ini juga berkata mereka akan dapatkan penjelasan daripada pihak pimpinan PN dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, tegas Tajuddin dia yakin DAP dan PKR tidak akan jalin kerjasaman dengan PN.

"Saya rasa kalau DAP dan PKR nak masuk PN, saya rasa tak mungkin kot, kerana ia berbeza dengan apa yang Anwar dan Zahid (Hamidi) nak buat.

"Dia orang nak bergabung dengan parti-parti," tambahnya.

Semalam Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil mempersoalkan apa yang berlaku kepada dasar "no Anwar, no DAP" yang dibuat kempimpinan Umno sebelum ini selepas Muhyiddin membuat tawaran kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS