Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shabery 'ajar' PN kaedah diplomasi sebelum PM ajak berdamai
Diterbitkan:  Aug 14, 2021 1:03 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini secara sinis 'mengajar' kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai kaedah diplomasi yang patut diamalkan gabungan berkenaan.

Menurut Ahmad Shabery Cheek, sebelum menghulurkan tangan mengajak pihak lain berbaik-baik, perkara penting yang perlu dilakukan ialah membina keyakinan di antara mereka.

Juga penting, kata bekas ahli parlimen Kemaman itu lagi, ialah keikhlasan yang dizahirkan dan bukannya bertujuan untuk 'membunuh' di kemudian hari.

"Kalau nak mintak sokongan Muda (parti Ikatan Demokratik Malaysia) bukan tolak permohonan pendaftaran partinya dulu.

"Kalau nak sokongan Umno, bukan hantar surat ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) macam nak ambik tindakan pula," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Penguasaan PN sebagai kerajaan pusat kini berdepan tanda tanya ekoran kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang diyakini sudah kehilangan sokongan majoriti di parlimen.

Namun di sebalik desakan pelbagai pihak agar berundur, presiden Bersatu itu semalam menegaskan dia akan kekal dengan jawatan sekarang atas alasan tiada mana-mana ahli parlimen yang memiliki sokongan majoriti di parlimen.

Hujah itu bagaimanapun dikritik ramai kerana beranggapan tugas menentukan sokongan majoriti itu terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukannya perdana menteri.

Dalam usaha mencari sokongan menjelang pengundian usul percaya di parlimen, Muhyiddin semalam mengemukakan pelbagai tawaran termasuk pembaharuan institusi kepada mana-mana pihak yang sedia menyokongnya.

Bagaimanapun setakat ini seruan berkenaan tidak mendapat sambutan.

Untuk rekod Muda - yang diterajui Ahli Parlimen Muar yang juga bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berdepan masalah pendaftaran di sebalik pelbagai usaha yang dilakukan mereka.

Pada 12 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menolak permohonan Muda untuk didaftarkan secara rasmi. Untuk rekod Hamzah merupakan setiausaha agung Bersatu. 

Pada 6 Ogos lalu pula ROS mengumumkan keputusan Umno menangguhkan pemilihan parti - yang sepatutnya diadakan tahun ini - adalah tidak sah.

Alasan ROS, keputusan penangguhan berkenaan dibuat ketika tempoh khidmat pemegang jawatan dalam MKT Umno sudah tamat justeru ia tidak sah. 

ROS adalah salah satu jabatan yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Ahmad Shabery berkata dua perkembangan yang disebutkannya itu adalah contoh bagaimana kerajaan sepatutnya membina keyakinan kepada pihak lain sebelum mengadakan kerjasama.

"Kalau sekadar nak main-main, tak apalah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS