Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keengganan Muhyiddin berundur undang risiko amat besar'
Diterbitkan:  Aug 14, 2021 8:18 AM
Dikemaskini: 12:18 AM

Pendirian yang ditunjukkan parti pembangkang dan sesetengah ahli parlimen terhadap tawaran Muhyiddin Yassin semalam membolehkan orang ramai merumuskan presiden Bersatu itu sudah kehilangan sokongan majoriti di parlimen, kata Mohamad Hasan.

Namun tambah timbalan presiden Umno itu, apa yang lebih utama ialah kegagalan Muhyiddin segera melepaskan jawatannya akan membawa risiko perundangan amat besar kepada negara.

"Semua keputusan eksekutif tersebut boleh dicabar keabsahan dan keperlembagaannya.

"Ini meletakkan kerajaan dalam kedudukan terdedah kepada pelbagai pertikaian undang-undang dan risiko kerugian kewangan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Mohamad lagi bagi mengelakkan negara terus berada dalam kancah kecelaruan, wajarlah pihak eksekutif tampil dan melakukan tindakan yang benar dan berpelembagaan.

"Mereka harus memudahkan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas perlembagaan baginda, bukan bertindak sebaliknya.

"Tiada yang lebih penting kepada seorang perdana menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh perlembagaan," katanya.

Semalam Muhyiddin dalam ucapan yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara menegaskan dia tidak akan meletak jawatan walaupun keabsahan sokongan yang diterimanya dipersoalkan.

Ahli parlimen Pagoh itu juga mendakwa tiada mana-mana ahli parlimen kini mendapat sokongan majoriti daripada ahli parlimen untuk membolehkan perdana menteri baru dilantik.

Menjelang sidang parlimen yang akan menyaksikan usul percaya dikemukakan ke atasnya, Muhyiddin juga membuat beberapa tawaran kepada pembangkang.

Namun setakat ini ia tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Mohamad berkata sebelum ini Istana Negara dikatakan menulis untuk mendapatkan pengesahan daripada speakar Dewan Rakyat mengenai jumlah sokongan ahli parlimen terhadap Muhyiddin.

Tindakan itu katanya jelas membuktikan bahawa Istana Negara sangat meragui dakwaan Muhyiddin yang dia masih mempunyai sokongan majoriti.

Kata Mohamad tindakan berkenaan tiada pernah berlaku sebelum ini dan meletakkan kewibawaan Muhyiddin pada tahap yang tidak boleh diyakini sama ada dalam tindakan atau kenyataannya.

Muhyiddin juga, katanya, kelihatan bersendirian cuba mempertahankan kedudukannya ketika ia dianggap sudah tidak boleh diselamatkan.

"Muhyiddin seharusnya tahu bahawa perlembagaan ‘is non-negotiable’ (tidak boleh dirundingkan)," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS