Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno terus tekan Azhar berhubung surat dakwa Muhyiddin tiada majoriti
Diterbitkan:  Aug 13, 2021 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Umno terus memberi tekanan kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun supaya "mengabsahkan" kedudukan perdana menteri dengan menjawab kesahihan surat yang tular bahawa Muhyiddin Yassin kini hanya memiliki 100 sokongan ahli parlimen.

Ahmad Zahid Hamidi, berkata amat penting untuk Azhar mengesahkan kesahihan surat berkenaan bagi memastikan demokrasi tidak dicabuli.

Zahid berkata Azhar enggan mengesahkan mengenai kesahihan surat berkenaan apabila ditanya media berhubung perkara itu.

"Meskipun itu hak beliau, namun persoalan itu amat penting untuk diketahui. Amat penting bagi memastikan sistem demokrasi negara tidak dalam keadaan dicabuli.

"Iaitu Malaysia sedang ditadbir oleh kerajaan tidak sah yang berlakon seolah-olah masih ada majoriti. Jika itu berlaku bermakna negara sedang ditipu.

"Ia boleh memberi implikasi terhadap pentadbiran negara termasuk dalam aspek dasar dan polisi yang dibuat oleh kerajaan tidak sah," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, portal Malaysiapost melaporkan Azhar enggan mengesahkan surat tular berhubung dakwaan dia mengesahkan Muhyiddin telah hilang majoriti sebagai perdana menteri.

Azhar berkata, dia tidak dapat memberi ulasan berkaitan isu berkenaan terutama melibatkan Istana Negara.

“Maaf, saya tak boleh komen mengenai komunikasi rasmi saya, lebih-lebih lagi kalau dengan pihak Istana,” katanya kepada Malaysiapost menerusi aplikasi WhatsApp.

Malaysiakini pula melaporkan, Istana Negara didakwa menghantar surat untuk meminta pengesahan speaker Dewan Rakyat berhubung jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin.

Berdasarkan surat yang tular, surat ditandatangani Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara itu diutuskan kepada Azhar pada 9 Ogos.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kesahihan warkah berkenaan kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin menggesa Speaker Dewan Rakyat supaya bercakap benar berhubung kesahihan surat itu.

"Jikalah sahih surat Speaker Dewan Rakyat, maka telah diabsahkan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa perdana menteri telah hilang kepercayaan dan perdana menteri perlu segera meletakkan jawatan.

"Dalam keadaan seperti ini, perdana menteri tidak lagi perlu menguji sokongan beliau di Dewan Rakyat. Beliau maklum dan tahu sokongan sebenar terhadap beliau.

"Justeru beliau mesti mematuhi segera Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khaled, Azhar harus bertanggungjawab menjelaskan kedudukan surat yang telah tersebar luas tersebut.

"Jika ia tidak sahih, maka beliau harus segera menafikannya. Jika tidak beliau telah gagal menjalankan tugas dengan adil dan neutral serta sengaja bersekongkol dengan perdana menteri bagi mempertahankan keabsahannya yang telah hilang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS