Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ciap tanda '???' di gambar Ali Rustam, individu disiasat menghasut

Beberapa individu sedang disiasat kerana hasutan atas komen mengenai lawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam ke rumah tempat pemenang pingat emas pertama Filipina, Hidilyn Diaz berlatih.

Siasatan itu berkaitan ciapan tanda soal '???' oleh Azfarul Naim, atau dikenali sebagai @FvgTitan di Twitter.

Ciapan itu memaparkan tangkap layar artikel yang diambil di Instagram Melaka Hari Ini pada 28 Julai mengenai lawatan Yang di-Pertua Melaka ke sebuah rumah di Kampung Kesang Tua, Melaka, yang menempatkan gimnasium untuk Diaz berlatih dalam persiapannya ke Olimpik di Tokyo.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Azfarul berkata dia merasakan siasatan terhadap ciapan itu tidak masuk akal.

"Saya tidak buat salah apa-apa. Saya cuma kongsi berita daripada laman rasmi,” kata Azfarul.

Dia menegaskan dia tidak berniat menghasut apa pun ketika dia membuat ciapan itu.

Peguam Azri Abdullah, yang diberitahu mengenai kes itu melalui sekumpulan peguam yang menawarkan perkhidmatan percuma di Melaka, membantu Azfarul dalam siasatan polis terhadapnya.

"Saya rasa ini jelas intimidasi. Saya faham polis perlu bertindak berdasarkan laporan yang dibuat.

"Selain Azfarul, saya ingat ada individu lain yang dicekup dari rumah pada jam 3 pagi hanya kerana dia mengemukakan pendapat dan mempersoalkan status berkaitan yang di-pertua negeri itu," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Azri lagi, walaupun beberapa ciapan mengandungi bahasa kasar tetapi penggunaan perkataan itu tidak mewajarkan siasatan bawah akta hasutan.

Difahamkan siasatan itu di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, dengan Azfarul menjadi orang kelapan yang dipanggil untuk siasatan.

Masih tidak jelas sama ada lebih ramai individu akan dipanggil untuk ciapan berkaitan hantaran tanda soal ‘???’ itu.

Setakat ini, dua individu dikatakan diberitahu untuk hadir pendengaran mahkamah pada 17 Ogos.

Ini merupakan siasatan lanjutan polis terhadap media sosial minggu ini - dengan siasatan terbaru berkaitan komen pada hantaran Facebook Ketua Umno Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff mengenai jumlah kematian di daerah Kuala Muda.

Malaysiakini telah cuba menghubungi IPD Melaka Tengah tetapi masih belum mendapat maklum balas mengenai kes ciapan tanda soal '???' itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS