Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan pinggir Kelantan, bekalan vaksin tercorot'

Rayuan demi rayuan, surat demi surat diutuskan kepada pihak bertanggungjawab namun agihan bekalan vaksin untuk keperluan rakyat negeri Kelantan masih rendah.

Malah, negeri Cik Siti Wan Kembang itu berada di kedudukan ketiga tercorot dalam peratusan pemberian vaksin Covid-19 disebabkan bekalan yang diterima lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.

Sehubungan itu kerajaan Kelantan memohon agar pengagihan vaksin kepada negeri itu tidak dipinggirkan kerajaan pusat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata Kelantan tercorot bukan disebabkan penduduk menolak vaksin atau tidak mendaftar menerusi MySejahtera, sebaliknya berdepan kekangan bekalan.

"Kita memohon untuk mendapatkan satu juta dos vaksin sebulan, namun setakat ini kita hanya menerima 500,000 dos vaksin.

"Untuk sehari kita hanya memberi vaksin 25,000 dos sahaja, itupun hanya sehingga jam 2 petang sahaja vaksin itu sudah habis. Jadi, kita berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendengar rintihan kami sekali gus memenuhi permintaan Kelantan.

"Jangan letakkan Kelantan negeri yang terkebelakang dan meminggirkan kami dari segi agihan vaksin memandangkan kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat.

"Sedangkan kerajaan mengumumkan kelonggaran beberapa sektor ekonomi,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, semalam.

Dr Izani berkata demikian ketika ditanya berhubung kadar vaksinasi di negeri itu yang dilihat perlahan berbanding negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya sudah membuat rayuan berhubung permohonan bekalan vaksin berkenaan dan pihak MOSTI hanya mengiyakan perkara itu.

Katanya, sehingga kini pihaknya tidak mendapat bekalan vaksin yang dimohon dan mendapat maklumat hanya 700,000 dos vaksin yang akan diberikan bulan ini.

"Dari segi persediaan fasiliti dan petugas, kita mampu untuk menyuntik sebanyak 33,000 dos sehari, maknanya kita boleh selesaikan sejuta dos sebulan.

"Justeru kita minta sangat agar permintaan bekalan sejuta dos vaksin sebulan dapat dipenuhi dengan apa cara sekali pun.

"Saya melihat kadar pengagihan vaksin kepada negeri-negeri sangat berbeza, Kelantan jauh tercorot. Saya mewakili kerajaan negeri meminta menteri Mosti dan kerajaan Malaysia supaya 'melihat' Kelantan," jelasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS