Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor akan sedia subsidi urus jenazah Covid-19 untuk semua agama

Kerajaan Selangor setuju untuk menyediakan subsidi kepada sejumlah pengebumian jenazah Covid-19 tanpa mengira agama dan kepercayaan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, subsidi akan diberikan kepada orang Islam dan bukan Islam yang membuat permohonan.

DIa berkata, exco kerajaan negeri V Ganabatirau dan Setiausaha Kerajaan Negeri Nor Azmie Diron akan meneliti perkara itu serta dakwaan berkenaan kos tinggi yang dikenakan untuk pengebumian mangsa beragama Islam dan bukan Islam.

"Semalam kita bincang (dalam mesyuarat exco). Ganabatirau dan setiausaha kerajaan negeri akan mengkoordinasi untuk mengenal pasti isu utama, bagaimana untuk selesaikannya.

"Siapa yang mampu (untuk tanggung kos) kita tak boleh halang. Tapi sesiapa yang tak mampu, kerjaan negeri boleh bantu untuk ringankan beban mereka dan elakkan daripada bayaran berlebihan yang tak masuk akal untuk pengurusan jenazah," katanya ketika sidang media dalam talian hari ini.

Ganabatirau dijangka akan memberikan butiran lanjut setelah meneliti peruntukan yang boleh disediakan kerjaan negeri.

Amirudin Shari

Menurut Amirudin, kerajaan negeri berharap dapat memberi subsidi sebanyak kira-kira separuh daripada kos pengurusan jenazah.

"Sumbangan yang kita berikan mungkin tak banyak, saya fikir maksimum RM1,000 (setiap jenazah).

"Ganabatirau sedang lihat peruntukan yang ada (dalam belanjawan negeri). Kita benarkan kemudahan wang itu untuk bantu (pengurusan) jenazah, terutama untuk orang bukan Islam jika mereka memerlukannya.

"Ini perlu berdasarkan permohonan. Kos (keseluruhan pengurusan) mungkin RM2,000, jadi sekurang-kurangnya RM1,000 disubsidi oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Selangor kekal mencatatkan kes positif dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di Malaysia.

Untuk hari ini, terdapat 6,278 kes baru dan 118 kematian dilaporkan di negeri itu.

Kit ujian kendiri percuma

Selain itu, kerajaan Selangor juga akan membekalkan kit ujian kendiri air liur Covid-19 secara percuma kepada ahli keluarga kes positif.

Keluarga yang layak tidak perlu membuat permohonan dan akan dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Menurut Amirudin, sebanyak 60,000 kit ujian akan disediakan di 56 DUN di Selangor.

"Ini percuma untuk penduduk Selangor. Kita sasarkan keluarga (pesakit) yang positif.

"Apabila ada didapati positi di klinik Selcare atau Pejabat Kesihatan Daerah, semuanya akan disalurkan dalam satu pangkalan data di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

"Daripada itu, kita akan beri kit ujian percuma kepada keluarga. Diharapkan ahli keluarga dan (buat ujian sendiri) dengan agak kerap untuk semak status mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS