Seorang pengamal perubatan tradisonal yang menjadi mangsa pukul sekumpulan lelaki baru-baru ini kini berdepan dakwaan mencabul seorang remaja.
Kes itu, kata polis, mula disiasat selepas satu laporan dibuat terhadap lelaki dari Perlis berkenaan.
Perkara itu dikatakan terbongkar selepas mangsa - seorang gadis berusia 15 tahun - memberitahu ibunya mengenai kejadian yang berlaku pada 2 Ogos lalu.
Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kubang Kerian, semalam.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa menjalani rawatan tradisional di rumahnya di Pasir Tumboh, Kota Bharu.
"Rawatan dijalankan seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ustaz.
"Semasa rawatan dijalankan, suspek dikatakan bertindak memegang dan meraba seluruh badan mangsa.
"Mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya yang kemudian telah membawa remaja terbabit membuat laporan polis," katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan lelaki tersebut membuat laporan polis mendakwa dipukul sekumpulan lelaki atas tuduhan menjalankan rawatan yang salah.
Lelaki terbabit dikatakan dibelasah termasuk dengan menggunakan penyangkut baju.
Sementara itu Shafien berkata, suspek dalam kes ini adalah individu yang dilaporkan menjadi mangsa dalam kes pukul tersebut.
"Dalam kes pertama (pukul) dia sebagai mangsa, tapi kes kedua ini dia sebagai suspek.
"Mangsa dikatakan selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai disebabkan gangguan makhluk halus.
"Keluarga mangsa menghubungi suspek yang berusia 39 tahun dari Perlis itu untuk menjalankan rawatan," katanya.
Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 14(1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.
Difahamkan pengamal perubatan berusia 39 tahun itu masih ditahan di hospital atas masalah kesihatan dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.