Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan tahan lelaki, rampas dadah hampir RM11 juta

Tangkapan polis Kelantan terhadap seorang lelaki selepas mengejarnya untuk seketika membawa kepada penemuan syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM11 juta.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat, berkata lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 10.05 pagi di Kuala Jambu, Tumpat pada 10 Ogos lalu.

Sebelum itu katanya polis mengejar lelaki berusia 32 tahun berkenaan yang cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

"Setelah tangkapan dibuat, polis menjumpai dadah jenis heroin dan dua bungkus air ketum yang dimiliki suspek sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal ke atas suspek membawa polis ke satu lagi lokasi simpanan dadah yang terletak di Kampung Kuala Jambu di Tumpat," kata Shafien pada sidang media di IPD Tumpat, hari ini.

Menurut Shafien, di lokasi berkenaan polis menjumpai beberapa bungkusan berisi 80kg syabu dan 804,000 pil kuda yang diletakkan di dalam semak.

Nilai pasaran jalanan dadah itu dianggarkan RM10.92 juta.

"Bekalan dadah yang dirampas dipercayai boleh menampung seramai lebih 400,000 penagih syabu dan 804,000 penagih pil kuda.

"Tangkapan reman telah dibuat ke atas suspek selama tuhuh hari bagi siasatan lanjut dan terperinci," katanya.

Menurut Shafien kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS