Paling Popular
Terkini

GLOBAL | Varian Delta kini strain Covid-19 yang paling dominan di Thailand, menyumbang lebih 90 peratus jangkitan baru sejak minggu lalu.

Namun, sehingga kini tiada varian Lambda dikesan di Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr. Supakit Sirilak berkata varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, telah menular ke 76 daripada 77 wilayah di Thailand. Suphan Buri di wilayah tengah adalah satu-satunya wilayah yang belum melaporkan kes membabitkan varian itu.

Menurutnya, varian Delta sekurang-kurangnya berjangkit lebih 40 kali ganda berbanding varian Alpha yang pertama kali dikesan di United Kingdom, menyumbang lebih 92 peratus jangkitan baru di Bangkok, pusat penularan terbaru pandemik.

"Buat masa ini tidak ada kes babitkan varian Lambda yang pertama kali dikesan di Amerika Selatan itu," katanya.

Dr Supakit berkata pegawai kesihatan telah berhasil membendung varian Beta, yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan, di empat wilayah Selatan - Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla serta di Bueng Kan dan Bangkok.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 21,038 kes baru Covid-19 dan 207 kematian, mengumpul jangkitan keseluruhan kepada 816,989 dan korban seramai 6,795.

Mengenai kes baru, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata 21,019 adalah jangkitan tempatan dan 19 kes import.

Katanya, ia melibatkan 112 lelaki dan 95 wanita berusia antara 21 hingga 93 tahun termasuk lima warga Myanmar dan masing-masing seorang rakyat India, Kemboja dan Pakistan.

“Kematian dilaporkan di 41 daripada 77 wilayah. Bangkok masih mencatat jumlah tertinggi sebanyak 4,525 kes dan 60 kematian, ” katanya semasa taklimat harian Covid-19 di Bangkok hari ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS