Ketua Umno Bahagian Sungai Petani mendedahkan bahawa dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar hari ini.
Dalam kenyataan di Facebook, Shahanim Mohamad Yusoff memberi gambaran bahawa ia berhubung kenyataan di Facebook yang dimuat naik olehnya.
"Saya tak komen jelik. Saya tak komen hina, saya tak maki menteri besar Kedah pun.
"Saya hanya naikkan status jumlah kematian di Kuala Muda. Orang ramai yang komen macam-macam," katanya pada hantaran yang disertakan dengan gambarnya hadir di balai polis.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak polis bagi mendapatkan ulasan.
Hantaran itu turut disertakan tangkap layar beberapa kenyataan di Facebook yang dimuat naik olehnya sebelum ini.
"Salahkah naikkan status jumlah kematian. Bersuara demi rakyat. Allah tahu niat kita. (Saya) akan terus bersuara," tulisnya lagi pada catatan sama.
Empat individu setakat ini memberi keterangan kepada polis berhubung kritikan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi baru-baru ini mengundang kontroversi dan kritikan susulan kenyataannya berkaitan kontena jenazah pesakit Covid-19.
Susulan itu, pegawai khas Sanusi membuat laporan polis.
Menteri besar itu sebelum ini turut pernah dikritik dan didenda kerana memandu uji kenderaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).