Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami isteri ditahan bersama dadah bernilai lebih RM2 juta

Polis Kelantan menahan dua suspek suami isteri dipercayai pengedar dadah serta merampas dadah jenis heroin base dan pil kuda bernilai lebih RM 2.09 juta di sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, tangkapan pertama ke atas suspek lelaki berumur 27 tahun dibuat di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah sekitar jam 12.43 tengah hari.

"Tangkapan tersebut telah membawa pihak polis ke sebuah rumah yang tidak jauh dari tempat tangkapan.

"Hasil pemeriksaan ke atas rumah terbabit, pihak kami telah menjumpai seorang wanita berumur 23 tahun warga asing dipercayai isteri suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Pasir Mas, hari ini.

Menurut Shafien, suspek kemudian menunjukkan kepada pihak polis sebuah bilik di dalam rumah tersebut dan pihaknya telah menjumpai sebuah bungkusan serta sebuah beg berwarna biru.

"Melalui bungkusan dan beg tersebut, pihak kami telah menjumpai dadah jenis heroin base berjumlah 13.295 kilogram bernilai RM 1,234,573.70 dan sejumlah 80,000 pil kuda bernilai RM860,000.

"Ini menjadikan jumlah rampasan kesemua dadah terbabit ialah bernilai RM2,094,573.70.

Katanya, bekalan dadah terbabit boleh menampung seramai 43,000 penagih bagi dadah jenis pil kuda manakala bagi dadah jenis heroin base pula dapat menampung seramai 810,000 penagih.

"Selain itu, pihak kami turut menyita sebuah kereta Proton Satria bernilai RM10,000 dan sebuah motosikal bernilai RM4,000," terangnya.

Menurutnya, tangkapan ini merupakan hasil kerjasama pasukan Polis Jenayah Narkotik Pasir Mas dan Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sudah menjalankan siasatan selama enam bulan serta dipercayai mempunyai hubung kait dengan tangkapan kes yang dibuat sebelum ini.

Katanya lagi, Kes disiasat di bawah seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang  jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 8 Ogos untuk siasatan lajut.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS