Kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ke atas individu yang telah menerima dua dos suntikan vaksin termasuk kebenaran makan di kedai (dine-in) bermula semalam sememangnya ditunggu-tunggu oleh peniaga kedai makan dan restoran.
Bagaimanapun, tinjauan Malaysiakini mendapati rata-rata peniaga kedai makan di sekitar Tanah Merah, Kelantan menyatakan kebimbangan dan belum bersedia untuk melaksanakan 'dine in' di premis mereka.
Ini kerana kebanyakan pemilik dan pekerja masih belum menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya.
Peniaga masakan panas, Hamdan Budiman, 40, berkata, dia tidak bersedia untuk membuka kedai makan secara dine-in kerana belum cukup menerima dua dos suntikan vaksin.
"Saya setuju buka kedai secara dine-in tapi pemberian vaksi perlu percepatkanlah. Kasihan kita yang dah daftar 5 atau 6 bulan yang lepas tapi sampai sekarang belum terima vaksin.
"Saya tidak bimbang sangat berkaitan jangkitan kalau semua sudah divaksin dan keselamatan dijaga elok-elok dengan pematuhan SOP yang baik," katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, setakat hari ini, dia menjalankan perniagaan secara atas talian yang mana pembeli memesan makanan melalui aplikasi Food Panda atau Grab Food.
"Kaedah jualan kita secara 'online' la melalui Food panda atau Grab Food, tetapi hasil jualan hanya lepas sewa kedai sahaja," katanya kepada Malaysiakini.
Pada 8 Ogos lalu, perdana menteri mengumumkan beberapa kelonggaran SOP kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin, berkuatkuasa pada 10 Ogos.
Kelonggaran tersebut diberikan kepada mereka yang sudah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan kedua manakala individu yang baru menerima satu dos vaksin perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.
Bagi peniaga nasi daun pisang, Zarina Mat Ali, 54, dia juga masih belum bersedia untuk membuka kedai secara dine-in.
Katanya, bukan sahaja ada di antara pekerjanya belum menerima dua dos vaksin malah peningkatan kes Covid-19 di Kelantan juga sangat membimbangkannya.
'Bukan semua pelanggan dengar kata'
Selain itu, syarat yang dikenakan kepada pelanggan iaitu perlu lengkap dua dos vaksin juga salah satu punca membuatnya belum bersedia.
"Syarat yang dikenakan ke atas pelanggan tu yang jadi masalahnya, tak cukup dua dos tidak boleh makan di sini.
"Pelanggan bukan semua dengar kata, saya bimbang nanti berlaku pergaduhan dengan pelanggan sekiranya kita tidak benarkan mereka yang belum lengkap dua dos vaksin, makan di dalam kedai.
"Ini pun sudah ramai yang menelefon saya untuk tanya sama ada kita dah buka secara dine-in ke belum kerana kebanyakan pelanggan kita suka makan di sini berbanding dibungkus untuk makan di rumah," kata Zarina.
Sementara itu, peniaga restoran mamak, Rahaman K.A. Mohd Jaafar, 45, berkata, dia bersedia membuka kedai secara dine-in tetapi terdapat pekerjanya masih belum lengkap menerima suntikan vaksin.
"Saya akan pastikan semua pekerja saya untuk menerima vaksin yang lengkap dahulu sebelum kita izinkan pelanggan makan di dalam kedai yang mana kita target bulan depan.
"Tambahan pula, saya takut juga pasal Covid ni senang merebak tidak tahu dari mana. Orang yang sudah divaksin juga boleh dijangkiti apatah lagi mereka yang belum," katanya.
Ditanya berkenaan hasil jualan sebelum diumumkan kelonggaran, Rahaman berkata dia bersyukur kerana jualan masih laku seperti biasa.
"Dari segi jualan, Alhamdulillah, masih laku seperti biasa dan kita tidak pernah berhentikan pekerja kita walau seorang pun walaupun sebelum diberi kelonggaran yang membolehkan dine-in.
"Bagi saya dine-in ke tidak, jualan saya masih mendapat sambutan seperti biasa," ujarnya.