mk-logo
Berita
Iktibar hijrah: PAS, Umno, Bersatu perlu disatukan - Hadi
Diterbitkan:  Aug 9, 2021 6:36 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah merupakan pelaksanaan realiti perpaduan dalam kalangan umat masyarakat majmuk yang paling berjaya dalam sejarah politik dunia.

"Kejayaan yang telah menyatukan manusia daripada pelbagai agama dan bangsa, berkonsepkan adil kepada semua dan tiada paksaan beragama," katanya pada satu hantaran di Facebook.

Abdul Hadi mengulas panjang lebar sejarah permulaan takwim Islam itu tentang bagaimana Rasulullah SAW membawa konsep keadilan dalam masyarakat majmuk di Madinah.

Justeru itu, mengambil iktibar peristiwa hijrah Nabi SAW, Abdul Hadi menggesa supaya "PAS, Umno dan Bersatu yang merupakan tiga parti teras Melayu-Islam dan bumiputera perlu disatukan."

"Ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal (fleksibel) bagi melakukan perubahan yang positif berikutnya.

"Pada masa yang sama, tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua.

Gambar fail, penubuhan PN.

"Maka, hendaklah disingkirkan langkah negatif yang diambil oleh kalangan penganut Islam yang lemah serta tidak yakin kepada agama sendiri dan rupa bangsa yang menjadi ketetapan Allah SWT.

"Kemudian diikuti dengan kumpulan bukan Islam yang ekstrem sehingga boleh merosakkan kaum mereka sendiri, bukan sahaja hubungan antara kaum dan agama," katanya lagi.

Pun begitu, Hadi tidak memperincikan siapa "penganut Islam lemah" dan "kumpulan bukan Islam ekstrem" yang dimaksudkannya itu.

Esok umat Islam akan menyambut ketibaaan Tahun Baru Islam 1 Muharram 1443 Hijriah.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga berkata para pemimpin pelbagai kaum yang telah sama-sama menentang penjajah perlu dihargai.

"Walaupun berbeza agama dan bangsa serta berpecah dari sudut kefahaman dan anutan mereka. Akan tetapi, semua menanggung nasib sama-sama dijajah dan masing-masing dipergunakan untuk kepentingan penjajah.

"Asas yang kukuh diletakkan dalam perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan, apabila ditegaskan Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi.

"Manakala konsep Raja Berperlembagaan menjadi tonggak yang boleh dilakukan tindakan susulan bagi memperkenalkan acuan perpaduan dalam masyarakat majmuk," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS