Dua anak syarikat balak milik Samling Group Sdn Bhd memfailkan saman fitnah berjumlah RM5 juta terhadap Save Rivers berhubung tujuh artikel yang disiarkan di laman web NGO alam sekitar itu.
Samling Plywood (Miri) Sdn Bhd dan Samling Plywood (Baramas) Sdn Bhd memfailkan surat saman tersebut di Mahkamah Tinggi Miri pada Jun.
Saman itu menamakan Save Rivers Sdn Bhd; pengerusinya Peter Kallang; dan aktivis Mark Bujang, Thomas Jalong Apoi dan Caroline Mbang Nyurang sebagai defendan.
Berdasarkan salinan pernyataan tuntutan saman itu yang dilihat Malaysiakini, saman kedua-dua firma kayu balak tersebut berhubung artikel yang dimuat naik di portal saverivers.org, antara 23 Jun 2020 dan 10 Mac tahun ini.
Kedua-dua plaintif itu menyatakan bahawa mereka diberikan lesen kayu balak yang sah oleh kerajaan negeri Sarawak dan antara lain mendakwa tuduhan dalam artikel itu tidak berasas.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam NGO tersebut, Simon Siah mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat balak tersebut telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap tujuh artikel yang disiarkan.
Dia berkata mereka akan memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman tersebut.
Katanya lagi, pengurusan kes ditetapkan pada 6 September ini di Mahkamah Tinggi Miri.
Malaysiakini sedang menunggu respons balas dari Samling Group mengenai tuntutan tersebut.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan awal pagi ini, Bruno Manser Fund dan beberapa NGO antarabangsa dan tempatan lain menggesa Samling Group untuk menggugurkan saman fitnah terhadap Save Rivers.
Mereka berpendapat bahawa tindakan undang-undang berkenaan bersamaan dengan litigasi strategik terhadap penyertaan awam (SLAPP) yang seperti dirancang untuk menekan kumpulan advokasi tempatan dan membolehkan Samling untuk meneruskan operasi pembalakannya.
Gabungan itu berjanji untuk bersama dengan Save Rivers dalam menolak tuntutan saman fitnah tersebut.