Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maszlee: PdPR dan DidikTV abai pendidikan seni, kebudayaan, warisan
Diterbitkan:  Aug 9, 2021 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Kandungan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan manual dikeluarkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan juga kandungan DidikTV dilihat mengabaikan konsep kebudayaan, kesenian dan warisan.

Mantan menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pendidikan sepatutnya dilakukan dalam kerangka holistik dan bukan hanya berpaksikan peperiksaan dan silibus mata pelajaran semata-mata.

Menurutnya, ia perlu dibuat sebagai usaha bersepadu untuk perkembangan murid-murid secara menyeluruh ketika wabak Covid-19 mengakibatkan anak-anak terpaksa mengikuti sesi pembelajaran menerusi PdPR di samping bahan-bahan lain yang disalurkan melalui siaran TV Pendidikan (DidikTV).

“Kami ingin menzahirkan kerisauan mengenai keadaan terkini pendidikan anak-anak di seluruh negara yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Malangnya, kami dapati bahawa kandungan PdPR berdasarkan manual yang telah dikeluarkan oleh KPM, dan juga kandungan DidikTV seperti yang dapat diikuti oleh umum agak mengabaikan konsep kebudayaan, kesenian dan warisan.

“Hal ini amat tidak sihat bagi perkembangan murid di dalam usaha kita membina kemenjadian murid yang komprehensif dan bersepadu walaupun di kala wabak melanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut menyokong kenyataan itu, mantan timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik

Katanya, paling menyedihkan para pelajar kini kurang pendedahan kepada seni budaya dan tradisi pelbagai warisan masyarakat berbilang bangsa dan suku di Malaysia.

“Pendidikan kita juga agak kurang menitik beratkan isu ini, apatah lagi di kala wabak melanda, di mana pembelajaran masih dilihat di dalam kerangka norma biasa, tanpa mengambil peduli perihal keperluan jiwa dan minda anak-anak kepada unsur seni budaya dan warisan.

“Hakikatnya, mereka yang tidak menghargai seni budaya masing-masing adalah seumpama individu yang tidak mempunyai jiwa, ibarat kata artis seni ukir dari Inggeris yang terkenal, Henry Moore: “The soul cannot thrive in the absence of art",” katanya.

Justeru, tambah Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, pendidikan mestilah bersifat konstruktif, dan dalam membina generasi yang mempunyai kewarasan fikiran, pendedahan kepada seni dan budaya serta warisan negara boleh membentuk perpaduan bangsa, kerohanian jiwa, kesopanan dan kesusilaan demi kesejahteraan sosial.

Berdasarkan keadaan terkini, pihaknya mencadangkan:

  • Jalinan kolaborasi beberapa kementerian (Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Sains dan Inovasi, dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia) bagi mewujudkan bahan pembelajaran yang lebih menarik, dengan menggunakan pembangunan video interaktif berteraskan teknologi digital seperti animasi, teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).
  • Kerajaan menggunakan bakat artis-artis dalam bidang teknologi kreatif (creative technologies) yang mampu mengadakan bahan berkualiti berkaitan kesenian, kebudayaan dan warisan yang menarik berdasarkan subjek yang diajar disekolah untuk dipaparkan di Didik TV, ataupun dikongsikan lewat pelantar DELIMA milik Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kerap mengadakan Facebook Live bagi megenalkan beberapa artifak yang dipamirkan di muzium2 negara kita, dan juga JKKN pula mengenai seni budaya beberapa tempat dalam negara. Bahan-bahan yang telah dihasilkan oleh kedua-dua buah jabatan ini jika digabung dengan subjek sejarah akan dapat menghasilkan kaedah pembelajaran yang lebih menarik untuk dikongsikan di saluran-saluran televisyen ataupun pelantar pembelajaran milik KPM sebagai bahan pelajaran bukan hanya sekadar sewaktu PKP, malah untuk kegunaan pembelajaran selamanya.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS