Tiada pilihan raya kecil yang akan diadakan untuk mengisi kerusi DUN Melor di Ketereh, Kelantan yang kini kosong selepas penyandangnya Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya menerima pemberitahuan mengenai kekosongan itu dari Speaker DUN Kelantan, Abdullah Ya'akub melalui surat bertarikh 8 Ogos.
Pemberitahuan itu disampaikan hampir empat bulan setelah kematian Md Yusnan kerana semua undang-undang negeri mengenai pilihan raya ditangguhkan berdasarkan ordinan darurat dari 11 Januari hingga 1 Ogos.
Katanya, Artikel 46 (5) perlembagaan negeri Kelantan memperuntukkan bahawa pilihan raya kecil mesti diadakan dalam waktu 60 hari setelah kerusi diisytiharkan kosong.
"Seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.
"Sehubungan itu, Speaker Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
"Selaras dengan itu, tiada PRK akan dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN N.23 Melor," katanya.
Pilihan raya umum ke-14 diadakan pada 9 Mei 2018, untuk penggal lima tahun.
Sejak itu terdapat 12 PRK yang diadakan melibatkan lima parlimen dan tujuh kerusi DUN. Yang terakhir diadakan pada 20 Ogos tahun lalu untuk kerusi DUN Slim di Perak.
Tiga PRK sepatutnya diadakan tahun lalu untuk Parlimen Batu Sapi dan kerusi DUN Bugaya di Sabah, serta parlimen Gerik di Perak, namun ditangguhkan di bawah ordinan darurat.