Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Labun politik orang dulu-dulu dan kuasa elit Melayu

ULASAN | Kampung Sentosa Sepakat ialah perkampungan setinggan yang terletak di Jalan Klang Lama. Kampung itu dilanda kebakaran sebanyak dua kali. Pertama pada 1983 dan kedua pada 2000. Kebakaran kali kedua melenyapkan sebahagian besar Kampung Sentosa Sepakat.

Ketua Kampung Sentosa Sepakat semasa saya tinggal di situ ialah gemulah Pak Cik Husin. Kalau melepak di kedai kopi milik anaknya, saya selalu mendengar labun politik Pak Cik Husin. Sejak itu, saya suka kisah politik walaupun saya tidak pernah bergiat aktif dalam mana-mana parti politik.

Pak Cik Husin akan berlabun sambil menghisap rokok. Macam-macam kisah politik saya dengar daripadanya. Tentulah kisah yang paling banyak ialah tentang Umno kerana Pak Cik Husin ketua Umno cawangan di situ.

Selain Pak Cik Husin, saya sekali-sekala mendengar pendapat politik daripada gemulah Tuk Acik Majid. Tuk Acik penyokong PAS. Di rumahnya di kampung selalu ada akhbar Watan. Tuk Acik seorang guru mengaji yang agak garang tetapi dengan kami - cucu-cucunya - dia masih boleh diajak berbual.

Tegang urat leher Tuk Acik kalau ada pendapatnya tentang politik PAS yang disanggah. Tapi selepas itu, dia cool down dan kami sama-sama minum teh dan makan pisang goreng. Perbezaan pendapat tidak menyebabkan dia marah berpanjangan.

Antara perbualan yang saya masih ingat ialah persoalan tentang keperluan menukar perlembagaan negara sekiranya PAS memerintah. Bagi Tuk Acik perlembagaan negara dibuat oleh orang kafir dan ia tidak mengikut kehendak al-Quran dan hadis.

Oleh yang demikian, perlembagaan itu akan ditukar jika PAS memerintah negara.

Pendapat yang sama saya dengar apabila persoalan ini diajukan kepada rakan-rakan PAS di sekolah pada waktu itu. Saya gemar mengajukan soalan itu kepada penyokong PAS kerana pada 1980-an, saya terbaca 'amanat' yang ditulis oleh Abdul Hadi Awang. 'Amanat' itu dicetak dan tersebar luas pada waktu itu.

Pekat darah Umno

Kalau keluarga kami ke Batu 9 Cheras, saya akan mendengar pula sembang politik daripada gemulah Yah We, suami Mak We, kakak sulung mak saya. Yah We ialah pesara tentera dan menjadi orang kuat Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan.

Selain kisah zaman perang menentang komunis, saya juga mendengar sembang politik Yah We. Pandangan Yah We tentang politik bagi saya lebih liberal berbanding dengan Pak Cik Husin dan Tuk Acik Majid.

Saya juga pernah mendengar Tuk Acik Majid dan Yah We saling berhujah tentang politik. Tidak saya ingat dengan terperinci hujah-hujah tersebut tetapi ia berlegar tentang Islam dan tidak Islam parti politik di tanah air.

Sebagai pendengar pada waktu itu, saya cenderung untuk memihak kepada pendapat Yah We.

Dalam Pilihan Raya Umum 1978, Yah We bertanding atas tiket DAP di parlimen Hilir Perak. Yah We kalah. Saya tidak bertanya kepada sesiapa dan tidak pasti akan sebab Yah We bertanding atas tiket DAP.

Oh, ya! Gemulah Yah We ialah bapa mentua Timbalan Perdana Menteri kita sekarang.

Keluarga saya pula ialah keluarga Umno. Gemulah emak saya menjadi ketua Wanita Umno cawangan Kampung Sentosa Sepakat. Abang kedua saya pula setiausaha Pemuda Umno cawangan. Abang sulung pula saya sampai sekarang menjadi orang kuat Umno.

Maka pekatlah darah Umno yang mengalir dalam badan saya. Tapi, saya tidak berminat untuk aktif dalam politik kepartian sejak dahulu lagi. Dengan emak, saya tidak pernah berbual-bual tentang politik. Begitu juga dengan abah saya.

Emak saya boleh tahan juga kalau berucap dalam persidangan Umno Cawangan Kampung Sentosa Sepakat yang diadakan di balai raya. Demikian yang pernah dikatakan oleh orang kampung.

Tapi apabila emak saya mula berucap, saya akan beredar dari balai raya. Saya pun tak tahu mengapa saya mesti berasa malu mendengar ucapan emak.

Setelah semakin dewasa, saya semakin banyak membaca bahan-bahan politik. Buku, majalah, blog, dan sebagainya. Pandangan politik saya telah jauh daripada cerita politik Pak Cik Husin, Tuk Acik, dan Yah We. Pandangan politik saya mula berubah, terutama terhadap Umno tanpa menafikan jasa baktinya kepada negara.

Saya mula terfikir bahawa di sebalik pemimpin Umno yang berkuasa di peringkat atasan itu, ada insan marhaen di bawah mereka. Marhaen itulah yang meletakkan pemimpin tersebut untuk berada di tempatnya.

Umno sebagai unit sosial

Emak saya misalnya, hanyalah seorang pencuci kain di rumah-rumah penduduk di Taman OUG, Jalan Klang Lama. Pak Cik Wahab yang juga orang kuat Umno ialah seorang pemandu. Yang lain ialah buruh, kerani ITM (Institut Teknologi Mara), dan peniaga kecil-kecilan.

Merekalah yang memilih pemimpin pada peringkat bahagian yang seterusnya menjadi perwakilan di Persidangan Agung Umno. Seterusnya, pemimpin bahagian membuat pemilihan pemimpin di peringkat yang lebih tinggi.

Segalanya bermula dari golongan marhaen pada peringkat cawangan.

Pada penilaian saya, bagi mak, Umno tidak lebih sebagai satu unit sosial yang membantu penduduk Kampung Sentosa Sepakat. Sebagai ketua Wanita Umno cawangan, emak menggerakkan kelas memasak dan jahitan. Di samping itu, emak juga aktif dalam kumpulan mengaji dan berzanji.

Saya tidak pernah melihat emak mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai ketua Wanita Umno untuk kepentingan peribadi. Pada waktu itu, perjuangan golongan marhaen Umno memang semata-mata untuk kemajuan bangsa Melayu. Mereka mahu melihat nasib orang Melayu terbela.

Begitupun, lama-kelamaan tujuan seseorang bergiat aktif dalam Umno mula berubah. Saya mula mendengar orang berkata: “Masuk Umno kalau tak dapat apa-apa, bodohlah.”

Perkataan “bodoh” tersebut bermaksud seseorang itu dianggap gagal jika dia menyertai Umno tapi tidak mendapat apa-apa projek sebagai sumber mengaut laba.

Saya berpendapat bahawa Umno sangat penting kepada politikus Melayu yang bernaung di bawahnya. Malah boleh dikatakan Umno itu lebih penting kepada politikus Melayu tersebut berbanding dengan orang Melayu itu sendiri.

Tanpa Umno pun, orang Melayu masih ada parti Melayu yang lain. Dan atas nama apa sekali pun, parti adalah untuk orang politik bernafas. Anggota parti pula menjadi pembekal oksigen kepada orang politik.

Politikus Melayu yang tidak dapat berpaut pada Umno akan menubuhkan parti baru. Yang tidak dapat berpaut dengan parti baru itu, akan menubuhkan parti baru yang lain pula. Itulah kebiasaannya.

Senario politik telah jauh berubah. Bukan lagi seperti labun politik Pak Cik Husin, Tuk Acik, dan Yah We. Politik negara telah mengalami perubahan yang besar.

Gelombang pertama perubahan berlaku pada 1998 apabila tercetusnya gerakan Reformasi setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Gerakan itu mengurangkan majoriti dua pertiga BN yang selama ini dinikmatinya dengan mudah pada zaman labun politik orang yang saya sebutkan tadi.

Gelombang kedua pula bermula dengan kecundangnya rejim BN pada PRU ke-14. Begitupun, Pakatan Harapan (PH) hanya dapat berkuasa selama 22 bulan sebelum kuasanya dirampas oleh Perikatan Nasional melalui Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, Pakatan Nasional juga bukanlah koalisi politik yang mantap.

Kalaulah Pak Cik Husin, Tuk Acik, dan Yah We masih ada dalam situasi politik sekarang, saya tidak pasti akan pendirian politik mereka. Saya amat berterima kasih kepada mereka, emak saya, dan beberapa orang lain yang mendedahkan saya kepada politik pada peringkat awal.

Pengalaman awal tersebut membantu saya untuk memahami politik tanah air yang penuh drama pada masa ini. Justeru, kita jangan cepat melatah atau bersila membuat kesimpulan dengan sesuatu kisah politik yang pramatang atau belum tahu hujung pangkalnya.

Apa yang dilihat kadang-kadang terlindung kisah-kisah lain yang disembunyikan.


RIMANILZAH ialah peminat politik, filem, buku, sajak dan barang vintaj dari “kota basah” di utara Semenanjung.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS