mk-logo
Berita
Suhakam kecewa pesuruhjayanya dipanggil polis kes demo #Lawan
Diterbitkan:  Aug 8, 2021 6:30 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kecewa apabila para pesuruhjayanya telah dipanggil polis untuk soal siasat atas kehadiran mereka ketika perhimpunan #Lawan pada 31 Julai.

Suhakam menegaskan para pesuruhjaya badan berkanun itu cuma menjalankan tugas hadir memantau perhimpunan awam.

Ini katanya, sesuai dengan peranan Suhakam sebagai institusi hak asasi manusia negara yang ditubuhkan kerajaan bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

"Bagi menjalankan fungsinya, Suhakam diberikan mandat di bawah akta penubuhannya untuk menjalankan kuasanya termasuk melaksanakan aktiviti yang diperlukan termasuk memantau situasi hak asasi manusia dalam negara.

"Dalam konteks ini, Suhakam telah berada di perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ pada 31 Julai 2021 baru-baru ini, selari dengan fungsinya untuk memantau perhimpunan awam.

"Suhakam menzahirkan rasa kecewa kerana Pesuruhjayanya telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis semata-mata atas sebab menjalankan tugas yang dimandatkan di bawah Akta penubuhannya,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Suhakam berkata sebelum insiden ini, pesuruhjaya atau pegawai Suhakam tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat kerana memantau apa-apa perhimpunan.

"Suhakam percaya bahawa tindakan polis menyiasat Pesuruhjaya Suhakam dan pembela hak asasi manusia lain termasuk wakil Majlis Peguam Malaysia kerana memantau perhimpunan aman adalah tindakan yang terkebelakang dan bercanggah dengan semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Perisytiharan Pembela Hak Asasi Manusia," kata suruhanjaya itu.

Prinsip kebebasan bersuara, tegas Suhakam merupakan hak semua rakyat Malaysia selaras dengan beberapa piawaian hak asasi manusia antarabangsa berkaitan kebebasan berhimpun.

"(Ia) dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

"Pihak berkuasa mempunyai kewajipan untuk menghormati dan membenarkan serta memudahkan perhimpunan aman berjalan dengan selamat dan lancar,” kata Suhakam.

Suruhanjaya itu juga menekankan sesiapa yang menyuarakan pandangan mengenai hak asasi manusia tidak sepatutnya berasa takut terhadap intimidasi dan tindakan balas.

Pada 31 Julai, ratusan penunjuk perasaan berpakaian hitam berarak ke Dataran Merdeka menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, mendakwa pentadbiran PN salah urus wabak Covid-19.

Sejak itu, polis telah memanggil sejumlah individu yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan kini sedang dalam proses mengesan lebih ramai lagi peserta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS