Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lengkap vaksinasi boleh solat di masjid, sukan tanpa sentuhan
Diterbitkan:  Aug 8, 2021 5:24 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Kerajaan persekutuan bersetuju membenarkan aktiviti solat di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran itu terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

"Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

"Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat," katanya dalam pengumuman khas, petang ini.

Bagaimanapun tambahnya, pelaksanaan kemudahan itu adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam.

Selain itu Muhyiddin berkata, kerajaan juga membenarkan aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di kawasan terbuka (outdoor) dan di kawasan separa terbuka.

Bagaimanapun, ia hanya bagi negeri yang berada di bawah Fasa 2 PPN.

Menurutnya, aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.

"Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

"Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

"Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya," jelasnya.

Sementara itu turut dibenarkan adalah aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa (homestay) dan hotel.

Kelonggaran ini juga hanya untuk negeri yang berada dalam Fasa 2 PPN.

Muhyiddin berkata, pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut menerima vaksinasi lengkap.

Kebenaran itu mula berkuat kuasa bermula 10 Ogos nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS