Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 2 PPN boleh makan di restoran
Diterbitkan:  Aug 8, 2021 5:02 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Individu yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 yang tinggal di negeri di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan makan di premis (dine-in) berkuat kuasa 10 Ogos

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas hari ini.

Menurut Muhyiddin, kebenaran itu terpakai untuk negeri yang sudah memasuki fasa kedua dan seterusnya dalam PPN.

Semua negeri berada dalam Fasa Dua PPN dan fasa seterusnya kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Johor, Melaka dan Putrajaya.

"Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti dine-in sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja. Ini mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan Covid-19.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka," katanya.

Untuk rekod, seseorang dianggap lengkap vaksinasi selepas dua minggu menerima dos kedua (bagi vaksin dua dos) atau 28 hari selepas menerima vaksin dos tunggal.

Muhyiddin berkata, pihaknya menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

"Kita faham bahawa risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

"Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," jelasnya.

Tambahnya, bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS