Walaupun dengan infrastruktur kesihatan terbaik di Malaysia, Lembah Klang tetap bergelut berdepan peningkatan jangkitan Covid-19 di Malaysia serta penularan varian Delta.
Tetapi bagi negeri kecil seperti Melaka, yang hanya memiliki satu hospital kerajaan utama, sebarang peningkatan membawa kesan buruk terhadap sistem kesihatannya.
Awal Julai lalu, di Hospital Melaka dilaporkan 90 peratus daripada katilnya - iaitu 400 daripada 444 buah katil - telah digunakan pesakit.
Ia menyebabkan dua hospital daerah yang lebih kecil - iaitu Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin - mula menerima pesakit Covid-19, selain rancangan mewujudkan sebuah hospital medan.
Namun pada pertengahan Julai, dilaporkan terdapat 58 kes positif melibatkan pesakit dan kakitangan di Hospital Alor Gajah. Pada masa sama, rancangan mewujudkan hospital medan telah ditangguhkan.
Sejak tujuh hari lalu, terdapat 3,692 kes baru dan 72 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Melaka.
Dua orang sumber di Hospital Melaka yang bercakap dengan Malaysiakini membangkitkan keadaan membimbangkan di Jabatan Kecemasan hospital itu, yang telah "melimpah" dengan khemah dan katil kanvas dipasang di jalan di luar bangunan.
Mereka yang merupakan petugas barisan depan di hospital itu enggan dinamakan ekoran larangan daripada Kementerian kesihatan terhadap kakitangannya daripada membuat kenyataan tanpa kebenaran.
"Sebenarnya, kita di tahap meletakkan lebih banyak khemah-khemah baru.
"Tetapi walaupun dengan tambahan (khemah dan katil) sebelum ini, kita masih kekurangan. Masih ada pesakit yang duduk di kerusi dan kerusi roda, dan dalam kes yang sangat ekstrem, saya lihat pesakit duduk di lantai.
"Kami tiada pilihan kerana kemasukan ramai pesakit dalam masa yang sama. Kami bergelut mendapatkan katil dan kerusi untuk mereka.
"Amat menyedihkan, apabila mereka duduk di lantai, mereka dekat dengan tong sampah biobahaya," kata petugas itu.
(Nota editor: Kredit gambar tiada kaitan dengan sumber yang dipetik)
Seorang lagi petugas menjangkakan setiap hari sekurang-kurangnya 30 hingga 50 pesakit di Jabatan Kecemasan tiada katil, walaupun petugas barisan depan telah melakukan yang terbaik untuk menangani perkara itu.
Ada kala, katanya lagi, jumlah itu boleh meningkat sehingga 80 orang dengan kebanyakannya terpaksa menunggu lebih sehari sebelum mendapat katil.
"Ada yang keadaan memburuk sementara menunggu di Jabatan Kecemasan," katanya lagi.
Seorang lagi petugas bagaimanapun menegaskan walau dengan keadaan itu, pesakit tidak lambat menerima rawatan daripada petugas.
Bagaimanapun, dia memberi peringatan bahawa jika kes positif terus meningkat, akan ada pesakit yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum dirawat.
Sumber juga berkata hospital itu juga kekurangan bekalan oksigen, dengan Jabatan Kecemasan hanya memiliki enam port oksigen yang bersambung dengan bekalan oksigen berpusat.
Satu port hanya boleh digunakan seorang pesakit pada satu masa.
Walaupun dengan bantuan tangki oksigen, dua petugas itu berkata ia tidak memadai.
"Penggera tekanan oksigen sentiasa berbunyi sejak sebulan lalu ekoran tekanan oksigen yang rendah (kerana) terlalu ramai pesakit yang memerlukan oksigen yang tinggi.
"Hospital tidak dapat menampungnya. Sejumlah pesakit memerlukan tangki oksigen tetapi jika mereka memerlukan oksigen tinggi atau dipasang ventilator, tidak memadai untuk menggunakan tangki oksigen sahaja," kata sumber.
Seorang lagi sumber berkata, satu tangki oksigen sepatutnya dikongsi paling ramai dua pesakit, tetapi kerana bekalan yang kurang, dia terpaksa membahagikannya kepada tiga atau empat pesakit.
"Dengan peralatan yang kurang, memang doktor perlu buat keputusan memilih pesakit mana yang perlu dimasukkan tiub (intubate) dan diselamatkan.
"Memang jelas yang kita memilih hidup atau mati untuk pesakit," katanya lagi.
Bagaimanapun, dia berkata Hospital Melaka masih dapat menerima pesakit Covid-19 di zon hijau, kuning dan jingga di Jabatan Kecemasan.
Pada masa sama, katanya lagi, sepanduk dipasang bagi memberitahu orang ramai agar ke klinik berdekatan jika keadaan mereka tidak kritikal.
"Sebaik saja dibuka, wad hampir penuh serta-merta. Wad Covid-19 disediakan secara tergesa-gesa, dengan ada pembahagi antara pesakit dan kaunter jururawat tidak dipasang dengan betul," katanya lagi.
Dengan keadaan wad yang penuh, ada kala pesakit perlu duduk di Jabatan Kecemasan sehingga empat hari, dengan kebanyakan yang memerlukan alat bantuan pernafasan sukar mendapat katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ini kerana katil di ICU sangat terhad dan sentiasa digunakan pesakit, katanya.
"Sebab itu di wad biasa ada ramai pesakit yang diberi bantuan oksigen tinggi dan malah alat bantuan pernafasan, walaupun tahap penjagaannya tidak sama (dengan di ICU) kerana bilangan kakitangan yang kurang," katanya.
Selain kekurangan katil dan peralatan perubatan, dua petugas itu juga membangkitkan masalah kepenatan akibat kurangnya tenaga kerja.
"Kami keletihan dan lesu upaya. Apabila kami mengalami keadaan ini, mutu kerja pastinya berkurang terutama apabila anda perlu cepat-cepat untuk merawat pesakit," katanya.
Dia juga mendakwa petugas yang menjadi kontak rapat kes positif juga diberitahu mereka tidak perlu menjalani saringan atau kuarantin jika tidak menunjukkan gejala, memandangkan ia akan mengurangkan lagi tenaga kerja yang ada.
Malaysiakini telah menghubungi pengarah Hospital Melaka untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.
Kedua-dua sumber itu berkata, mereka tidak melihat keadaan akan bertambah baik dalam masa terdekat.
Malah mereka menjangka keadaan akan bertambah buruk dengan bilangan jangkitan terus meningkat di seluruh negara.