Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setiausaha Wanita Umno letak jawatan ahli lembaga PTPTN
Diterbitkan:  Aug 8, 2021 3:17 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Seorang lagi pemimpin Umno meletakkan jawatan dalam institusi kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Rosni Sohar hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli lembaga pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Rosni yang juga setiausaha Wanita Umno berkata, langkah itu selaras dengan tindakan sama diambil ketua sayap itu, Dr Noraini Ahmad yang melepaskan jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

"Saya sebagai ahli MT Umno turut setia dan patuh atas ketetapan yang dibuat oleh pihak parti.

"Maka saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah PTPTN mulai 7 Ogos 2021," katanya dalam kenyataan.

"Umno merupakan sebuah parti keramat yang memperjuangkan dan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti termaktub dalam asas dan tujuan Umno," katanya lagi.

Semalam, seorang lagi ahli MT Umno, Abdul Rahman Dahlan turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pada 6 Ogos lalu, Noraini mengundurkan dirinya daripada menganggotai kabinet Perikatan Nasional (PN) dengan meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi.

Ia menyusuli Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin yang melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad, selepas dimulakan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah.

Pemimpin Umno lain yang turut berbuat demikian adalah ahli MT Razlan Muhammad Rafii untuk jawatan ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead Plantation Bhd.

Ia selepas pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak lagi menyokong kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu Rosni mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan PTPTN kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS