Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak boleh samakan tangguh pemilihan parti dengan tangguh parlimen'
Diterbitkan:  Aug 8, 2021 1:53 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Presiden Umno menjelaskan penangguhan pemilihan parti itu tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang parlimen kerana ia melibatkan 66,287 mesyuarat.

Menurutnya, pemilihan parti melibatkan 3.3 juta ahli Umno dengan pecahan sebanyak 21,135 mesyuarat cawangan; 21,058 mesyuarat cawangan wanita; 15,496 mesyuarat wanita dan 8,598 mesyuarat puteri.

"Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

"Manakala sidang Parlimen masih boleh diteruskan dengan SOP ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menyatakan tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti itu sebagai tidak sah kerana ia dibuat oleh anggota majlis tertinggi yang sudah tamat tempoh sah jawatan masing-masing. 

Menurut Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai sedangkan tempoh sah pemegang jawatan bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021.

Arahan itu secara kebetulan berlaku ketika sesetengah pemimpin kanan Umno menunjukkan sikap menolak arahan MT Umno agar melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Batuk berkata, pihaknya bimbang jika perkembangan muktahir itu cuma satu tindakan terdesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menekan dan melemahkan Umno.

"Insya-Allah Umno tidak berdiam diri. Umno tahu apa perlu dilakukan. Namun bagaimana dengan Ahli Parlimen Umno yang masih menyokong kerajaan PN?

"Apakah mereka yang mempertahankan kerajaan PN, pimpinan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri?

"Saya seru kepada mereka bukalah mata hati dan insafilah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara," tegasnya.

Dalam perkembangan itu jelasnya lagi, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sudah memberi penjelasan lengkap mengenai perkara berkaitan pemilihan Umno yang dibangkitkan ROS. 

"Bermula daripada perbincangan Mesyuarat MKT (Umno) sehingga kepada respons oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ROS dan Majlis Keselamatan Negara berhubung penangguhannya.

"Intipati surat oleh KKM dan MKN yang mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan Umno dibuat secara dalam talian turut didedahkan.

"Jika tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh bila pandemik Covid-19 terkawal dan akhirnya memutuskan pemilihan ditangguhkan," kata Zahid.

Tambahnya, atas faktor Umno tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat dikhuatiri berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS