LAPORAN KHAS | Dua tahun lalu negara gempar dengan pencemaran teruk di Sungai Kim Kim, Johor, yang membahayakan penduduk.
Kini kebimbangan semakin meningkat mengenai pencemaran di sekitar Sungai Langat, sumber air minuman di Selangor.
Sungai ini dan anak sungainya, Sungai Semenyih, menyediakan sekitar 30 peratus bekalan air di selatan Lembah Klang.
Seperti Sungai Kim Kim di Johor, Sungai Langat berdepan tekanan besar akibat peningkatan jumlah penduduk, kegiatan pembangunan dan perindustrian.
Salah satu sumber pencemaran bahan buangan berpunca dari kilang di Taman Perindustrian Mahkota di Banting dan kawasan perindustrian lain yang berdekatan.
Lawatan ke kawasan tebing Sungai Langat mendapati kilang-kilang menggunakan sungai itu untuk membuang sisa buangan mereka - yang mereka dakwa sudah dirawat.
Sementara itu, perlombongan pasir juga dilakukan di kawasan sungai berkenaan.
Kawasan luas di sepanjang tebing sungai itu pula telah dibersihkan untuk pembinaan kilang besar kitar semula kertas manakala bahagian lain terus dipromosikan untuk pembangunan industri berat.
Bahan logam berat warna gelap
Lawatan di sepanjang tebing sungai mendapati sisa buangan industri pada akhir abad ke-20 tanda alpa terhadap peraturan dan kekurangan penguatkuasaan.
Sebilangan besar sisa industri bertaburan di kawasan seluas lebih 60 ekar, hanya 50 meter dari sungai itu.
Setelah hujan, sisa industri dibawa larian air masuk ke dalam sungai.
Ujian makmal baru-baru ini yang dilakukan terhadap sisa bahan berat berwarna gelap menunjukkan ia mengandungi barium, zink, tembaga dan plumbum, mungkin sisa terkumpul dari tapak bekas aktiviti pemprosesan sekerap logam di kawasan itu.
Asal-usul sisa bahan logam berat ini tetap menjadi misteri.
“Sampah-sarap ini memang selalu dibuang di sini. Kami tidak tahu apakah sisa itu," kata seorang jurumudi perahu yang enggan namanya didedahkan.
Nelayan tempatan mengadu ikan yang semakin berkurang dan akibatnya menjejaskan hasil tangkapan.
Seorang nelayan, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan berkata: “Dulu, ikan yang kami tangkap besar-besar. Udang galah besar pun mudah kami nak dapat.
"Tetapi sejak kilang-kilang dibuka lebih dari 10 tahun alu, kami tidak melihat udang galah selama bertahun-tahun. Saiz ikan juga lebih kecil.
"Pada tahun 2020, kami tiba-tiba melihat udang lagi. Bila hujan, udang jadi mabuk akibat bahan kimia dari kilang yang dibuang ke sungai."
Profesor Dr Maketab Mohamed, pakar bidang kualiti air, bekas ahli akademik UTM dan kini menjadi perunding untuk kumpulan alam sekitar tempatan, bersetuju dengan aduan para nelayan.
Maketab yang juga bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia melakukan ujian pada bulan April di sepanjang sungai tempat pembuangan yang menunjukkan tahap oksigen rendah di dalam air.
Tidak dapat dipastikan apakah sampah logam yang dibuang di tempat terbuka melanggar undang-undang alam sekitar. Namun, Maketab menyatakan kebimbangan terhadap sisa buangan bahan-bahan gelap yang membentang di tebing sungai itu.
Dia mengingatkan sebatian itu tidak diketahui, zarah-zarah yang memasuki sungai mungkin boleh mencemari kehidupan sungai, menimbulkan ancaman bagi nelayan dan alam sekitar.
Tapak pembuangan
Pada tahun 2016, syarikat Megasteel yang beroperasi di kawasan itu disabitkan dengan tiga tuduhan jenayah alam sekitar berkaitan dengan penyimpanan dan pembuangan sisa toksik.
Tapak pembuangan bahan logam ini hampir betul-betul bertentangan dengan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang baru dibina untuk memproses air minum kepada kira-kira 30,000 isi rumah di Kuala Langat.
Kumpulan alam sekitar Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat (PTASKL) mengumpulkan sampel air di pusat pengambilan loji rawatan air pada awal Mac.
Keputusan menunjukkan jumlah ammonia (3.12mg / L) dan arsenik (0.014mg / L) pada tahap yang telah menimbulkan kebimbangan Maketab dan penduduk tempatan.
Piawaian kualiti air minuman Kementerian Kesihatan menyatakan nilai maksimum amonia dan arsenik yang boleh diterima masing-masing ialah 1.5mg / L dan 0.01mg / L.
Begitu juga, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan had 0.01mg / L untuk arsenik kerana kesukaran praktikal untuk mengeluarkan arsenik daripada air minuman.
Air kumbahan dibuang
Penemuan lain yang berkaitan juga muncul. Lebih banyak kilang dengan bahan buangan sedang dibina di kawasan berdekatan di sepanjang sungai.
Kumpulan alam sekitar PTASKL mendakwa bahawa sekurang-kurangnya satu kilang kertas sampah besar beroperasi dekat dengan loji rawatan air, menjalankan operasi tanpa Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) untuk premis kilangnya daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Namun, ketika dihubungi, Best Eternity Recycle Technology (Bert) Sdn Bhd berkata telah menerima kelulusan percubaan oleh MPKL untuk beroperasi, sementara menunggu pentauliahan CCC.
Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kilang Bert menunjukkan ia akan menghasilkan 2.2 juta tan produk kertas daripada sampah kertas yang diimport setiap tahun.
Ini secara tidak sengaja akan membawa sisa buangan bercampur yang tidak dapat dikitar semula termasuk plastik, yang dikatakan Bert akan dihantar ke tempat pembuangan sampah majlis tempatan.
Dalam laporan EIA, dinyatakan sisa akan dibakar di loji rawatan termal, yang masih belum beroperasi.
Dalam operasi penuh, 74.7 juta liter air setiap hari akan diambil dari Sungai Langat untuk proses kitar semula kilang kertas itu.
Sementara itu, kemudahan tersebut diberi kuasa untuk membuang 62.4 juta liter air buangan terawat ke Sungai Langat setiap hari. Jumlah air buangan ini dapat memenuhi 25 kolam renang berukuran Olimpik.
Timbunan sampah sisa kertas yang diimport dapat dilihat di tempat tersebut. Pemeriksaan di titik pelepasan pada beberapa waktu ketika siang dan malam menunjukkan jumlah air berbuih yang banyak dan berbau klorin.
Syarikat diseret ke mahkamah dua kali
Ringkasan kes di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan syarikat itu dibawa ke mahkamah dua kali dan didenda RM221,000 atas kesalahan yang dilakukan pada bulan Ogos 2019 kerana pelanggaran alam sekitar.
Ini termasuk kerana kesalahan kerja tanah dan pembinaan tanpa persetujuan JAS Selangor dan kegagalan mematuhi garis panduan pencemaran yang mengganggu tanah.
Walaupun menghadapi kesukaran untuk melaksanakan garis panduan keselamatan dan alam sekitar, dua kilang besar kitar semula sampah kertas itu masih dirancang dalam radius lima kilometer.
Kilang itu juga akan digerakkan dengan penjanaan elektrik di tapak berkenaan melalui pembakaran bahan bakar, termasuk sisa arang batu dan plastik.
Penduduk dan pakar prihatin terhadap risiko pencemaran udara, dan juga sejumlah besar air buangan terawat yang akan dilepaskan ke sungai oleh ketiga-tiga kilang tersebut.
Mereka berpendapat pengambilan air dalam jumlah besar dari sungai dan pembuangan sebatian kimia ke dalam sungai itu akan menyebabkan kualiti air serta alam sekitar Sungai Langat semakin merosot.
Walaupun kilang terletak di hilir dari Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Prof Maketab dan nelayan tempatan mengatakan bahan pencemar masih boleh dibawa ke hulu ketika air pasang luar biasa kerana kawasan ini merupakan muara.
Kerisauan penduduk bukan tanpa asasnya.
Ujian yang dilakukan terhadap sampel air yang diambil oleh Malaysiakini di tempat pelepasan kilang pada bulan Februari menunjukkan bahawa sampel tersebut tidak memenuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluen-efluen Perindustrian) 1979, bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1979.
Tiga parameter - minyak dan gris, fenol, dan boron - melebihi standard minimum yang dinyatakan untuk pembuangan air sisa (jadual di bawah).
Ujian oleh PTASKL pada bulan September lalu pada sampel air dari kolam takungan banjir, kurang 100 meter dari sempadan kilang, juga mendapati adanya bahan fenol, bersama dengan mangan, besi, dan sulfida, yang berada di atas tahap yang dibenarkan.
Sebatian ini tidak dijangka dapat ditemukan di kawasan banjir.
"Kami percaya bahawa kilang itu tidak hanya membuang sampah buatan manusia (tetapi juga sebatian ini) ke dalam kolam itu ketika air menjadi hitam tahun lalu. Kami sangat risau,” kata seorang wakil PTASKL.
Walaupun pemeriksaan berkala dikatakan dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan, tidak jelas apakah mereka menemukan hasil ujian serupa dan mengambil tindakan yang diperlukan.
Jurucakap kilang pada akhir bulan Jun menegaskan tidak ada efluennya yang dibuang ke kolam, tetapi dirawat sebelum dibuang ke sungai.
Jurucakap kilang, Pengurus Besar Bert, PY Wong juga berkata JAS secara berkala mengambil sampel efluennya dan semuanya mematuhi standard yang ditetapkan.
Mereka juga menerbitkan hasil ujian bulanan daripada sampel yang dianalisis oleh makmal pihak ketiga di papan kenyataan di luar kilang, kata mereka.
Pembinaan di kolam takungan air banjir dibangunkan oleh kilang-kilang di Sungai Langat.
Jurucakap Bert berkata perunding EIA telah melakukan analisis mengenai kesan efluen pada pelbagai corak pasang surut arus air sungai dan penemuan tersebut memenuhi garis panduan JAS.
Maklum balas tak memuaskan
Kebimbangan mengenai kualiti air dan isu-isu lain mendorong penduduk di kawasan itu - yang bergabung dengan PTASKL untuk membentuk pakatan longgar bernama Gabungan Lestari Alam Kuala Langat (GlamKL).
Kumpulan itu telah memaklumkan kepada MPKL mengenai perkara itu dalam sesi dialog yang diadakan pada bulan Mei.
Jurucakap kumpulan itu, Pua Lay Peng, Mohd Nazri Afrizal, dan Suhaizam Mohd Kassim berkata mereka telah menghantar surat aduan rasmi menyuarakan kebimbangan mereka kepada pelbagai agensi kerajaan, termasuk Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas), JAS dan pejabat Menteri Besar Selangor.
Pun begitu, mereka masih belum menerima maklum balas yang memuaskan terhadap permintaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerajaan.
MPKL dan JAS tidak menjawab permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
Namun, pada bulan Oktober, Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata siasatan mendapati air berbau busuk berwarna hitam di kolam takunan banjir itu tidak dibuang oleh kilang Bert, tetapi limpahan kumbahan dari asrama pekerja.
Artikel ini sebahagian daripada program Kewartawanan Penyiasatan Kiniacademy. Untuk maklumat lanjut mengenai laporan sebegini, klik di sini.