Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tangguh pemilihan ketika ahli MT masih pegang jawatan - Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 9:06 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Umno membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti itu pada 18 Jun dan bukan pada 7 Julai, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan hari ini.

Ahmad berkata keputusan itu dibuat secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Pada bulan Jun katanya, mesyuarat MKT secara bersemuka tidak dapat diadakan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown akibat pandemik Covid- 19.

"Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak ROS melalui surat Umno bertarikh 30 Julai 2021 (Rujukan: Umno/R/SUA/ROS/2021-18) hanya untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.

"Pentafsiran yang diberikan oleh Peguamcara Umno terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan Umno adalah dengan jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan Umno adalah kuasa mutlak MKT dan oleh sebab itu, Umno hanya perlu memaklumkan kepada pihak ROS," katanya dalam sidang media secara maya di Kuala Lumpur.

Ahmad  berkata, ROS telah memperakui penerimaan surat parti itu bertarikh 24 Jun yang antara lain menyatakan bahawa ROS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan Umno dan keputusan itu mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan parti.

Oleh itu, Ahmad berkata isu yang dibangkitkan ROS semalam tidak lagi berbangkit.

"Umno berharap agar dengan penjelasan ini, maka, polemik di antara Umno dan ROS dapat diselesaikan," katanya.

Semalam ROS menyatakan tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti itu sebagai tidak sah kerana ia dibuat oleh anggota majlis tertinggi yang sudah tamat tempoh sah jawatan masing-masing.

Menurut Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit mesyuarat MT Umno pada 7 Julai sedangkan tempoh sah pemegang jawatan bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021.

Arahan itu secara kebetulan berlaku ketika sesetengah pemimpin kanan Umno menunjukkan sikap menolak arahan MT Umno agar melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Sesetengah mereka pula mempersoalkan kewajaran Ahmad Zahid Hamidi - yang juga salah seorang ahli parlimen yang gigih mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan - terus menjadi presiden Umno.

Muhyiddin pula sedang diasak oleh Umno dari kem Ahmad Zahid serta pembangkang yang mendakwa dia sudah kehilangan majoriti di parlimen dan wajar berundur.

Untuk rekod ROS terletak di bawah kelolaan Kementerian Dalam Negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS