Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan ROS terhadap Umno bermotifkan politik - Bersih
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Badan pemantau pilihan raya, Bersih mengkritik langkah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang memutuskan penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan sebagai tidak sah.

Dalam satu kenyataan, badan pemantau pilihan raya itu menyifatkan langkah tersebut bermotifkan politik.

"Keputusan ROS tersebut yang diumumkan sejurus selepas Umno menarik semula sokongan terhadap PM Muhyiddin Yassin, menyebabkan ia dilihat sebagai tindakan yang bermotif politik.

"Keputusan ROS adalah percubaan terbaru sepanjang sejarah tindakan bermotifkan politik di bawah arahan tuan politik mereka iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menghalang pendaftaran parti, gabungan dan NGO baru, serta mencampuri urusan dalaman parti atau persatuan yang berdaftar di bawah mereka.

"Ini adalah satu lagi contoh bagaimana cabang kuasa eksekutif membidik musuh politik mereka," kata Bersih.

Semalam, ROS berkata tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti itu sebagai tidak sah.

Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim berkata keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MKT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

Tempoh kepemimpinan parti itu berakhir pada 30 Jun, namun keputusan untuk menangguhkan pemilihan dibuat pada 7 Julai lalu.

Langkah itu mencetuskan kontroversi setelah berlaku perpecahan di kalangan ahli parlimen dalam parti itu antara kumpulan pro-Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh naib presiden parti, Ismail Sabri Yaakob dan kumpulan yang diketuai oleh presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Bersih dalam kenyataannya hari ini menggesa penyeliaan parti politik diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas atau menubuhkan badan pengurusan pilihan raya yang baru iaitu Suruhanjaya Penguatkuasaan Pilihan Raya (SPPR) dan menguatkuasakan Akta Parti Politik yang baru serta undang-undang pilihan raya.

"Perkara ini adalah selari dengan Cadangan ke 11 Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang mengusulkan supaya pendaftaran parti politik diletakkan di bawah SPR," tegasnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS