Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti lawan Covid-19, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat Malaysia menterjemahkan solidariti dalam melawan pandemik Covid-19 dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam ucapannya semasa melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 hari ini, Muhyiddin berkata beliau berharap orang ramai menyahut seruan itu dengan penuh rasa bangga, tertib serta rasa hormat, dan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman mahupun kenderaan masing-masing.

“Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia, yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.

“Marilah kita bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih daripada wabak Covid-19, dan kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama,” katanya.

Majlis pelancaran yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi Dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 Saifuddin Abdullah.

Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun disebabkan negara berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan Covid-19, tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.

Muhyiddin berkata tema sambutan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin, seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan kerajaan Perikatan Nasional menyemai rasa cinta kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika negara masih memerangi pandemik Covid-19.

“Saya yakin saudara dan saudari mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi, dan dapat mengambil iktibar serta aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini, yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.

Muhyiddin berkata melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, rakyat negara ini akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang.

Perdana Menteri berkata semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang menuntut kemerdekaan negara perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada rakyat negara ini yang sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya seperti Covid-19.

“Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak Covid-19 ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS