Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno menggambarkan arahan kerajaan agar parti itu meneruskan pemilihan walaupun ancaman Covid-19 masih tinggi seumpama seorang pengadil mengarahkan perminan ketika banjir sudah naik ke paras pinggang.
Menurut Ahmad Shabery Cheek, sebelum ini ada kejadian 'pengadil' menghentikan permainan hanya kerana hujan renyai-renyai.
"Itu (berlaku) apabila parlimen dihentikan (sidangnya) walaupun agenda belum tamat. Alasanya Covid-19," katanya.
Kini kata Ahmad Shabery 'pengadil' yang berkaitan mengarahkan Umno mengadakan pemilihan parti seperti yang sepatutnya walaupun keadaan tidak sesuai berbuat demikian.
Pemilihan berkenaan, katanya, bukan setakat melibatkan pimpinan tertinggi sebaliknya meliputi pelbagai peringkat iaitu di 20,000 cawangan, 191 bahagian selain sayap-sayap parti.
"Tak boleh sekadar cukup korum, di kampung (pula) mana main online. Mesti dalam dewan atau rumah. Aturannya, kena ada doa, ucapan, bentang laporan, bahas, baru mengundi," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Semalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti sebagai tidak sah kerana ia dibuat oleh anggota majlis tertinggi yang sudah tamat tempoh sah jawatan masing-masing.
Menurut Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit mesyuarat MT Umno pada 7 Julai alu sedangkan tempoh sah pemegang jawatan bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021.
Arahan itu secara kebetulan berlaku ketika sesetengah pemimpin kanan Umno menunjukkan sikap menolak arahan MT Umno agar melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Sesetengah mereka pula mempersoalkan kewajaran Ahmad Zahid Hamidi - yang juga salah seorang ahli parlimen yang gigih mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan - terus menjadi presiden Umno.
Muhyiddin pula sedang diasak oleh Umno dari kem Ahmad Zahid serta pembangkang yang mendakwa dia sudah kehilangan majoriti di parlimen dan wajar berundur.
Untuk rekod ROS terletak di bawah kelolaan Kementerian Dalam Negeri.
Ahmad Shabery berkata apabila pemilihan dilakukan nanti polis pula perlu bertugas untuk memastikan segala prosedur operasi standard dipatuhi.
Arahan agar pemilihan parti itu juga, katanya, dikeluarkan ketika wabak Covid-19 masih belum dapat dikawal manakala pelbagai hospital mengalami kesesakan akibat pesakit wabak berkenaan.
"Sekarang berapa kontena pegawai ni nak hantar ke seluruh negara kalau kematian terus meningkat?" katanya.