mk-logo
Berita
Ketua Pemuda Umno Sabah sokong k'jaan GRS
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 11:45 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain hari ini menyatakan keyakinannya terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah yang dipimpin oleh Ketua Menterinya Hajiji Mohd Noor dan Bung Moktar Radin.

Menurutnya, sokongannya itu demi rakyat Sabah, sejajar dengan kenyataan dari Umno Sabah semalam.

“Ianya penting untuk perlihatkan gambaran kepada rakyat Sabah dan akar umbi parti bahawa Umno Sabah menghormati keputusan pimpinan tertinggi parti, tetapi pada masa sama ianya perlu seiring dengan ramuan dan acuan politik negeri sebagai panduan.

“Saya sedar bahawa Umno Sabah mempunyai tugas fidusiari kepada rakyat Sabah yang telah memberikan peluang kedua kepada kami semasa Pilihanraya Negeri Sabah Ke-16 yang lalu, melalui kerjasama parti-parti politik di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya yakin dan percaya, kerajaan GRS, di bawah kepimpinan dua tokoh besar negeri iaitu Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor dan Bung Moktar Radin, mampu membangunkan negeri ini ke aras yang lebih tinggi dan cemerlang melalui semangat Sabah Maju Jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, pilihan raya negeri Sabah.

Semalam, Umno Sabah menyatakan pendiriannya untuk terus kekal dan menyokong kerajaan GRS.

“Saya menyokong penuh kenyataan rasmi Umno Sabah terhadap suhu politik yang sedang berlaku di peringkat persekutuan.

“Ianya satu kenyataan yang bertanggungjawab, seimbang dan wujud penekanan terhadap autonomi Umno Sabah,” kata Abdul Aziz lagi.

Kenyataan Abdul Aziz itu hadir selepas peletakan jawatannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead Plantation Bhd.

Susulan penarikan sokongan Umno terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) para pemimpin Umno mula meletakkan jawatan dalam kerajaan PN.

Di peringkat kabinet, Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah pada Selasa meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli manakala Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad semalam meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin mengundurkan diri sebagai pengerusi Boustead Holding Bhd manakala Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii meletak jawatan anggota lembaga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Semalam, Ketua Umno Bahagian Balik Pulau Shah Headan Ayoob Hussain Shah pula mengumumkan peletakan jawatannya selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS