Paling Popular
Terkini

PULASAN | Sudah semakin kurang kita mengingat dua tragedi kapal terbang yang malang itu: MH17 dan MH370. Sifat kebanyakan kita, begitulah. Bersemangat berdegar-degar bagai ayam jantan yang dicabar pada awalnya, kemudian menjadi seperti bahan kumuh yang keluar dari belakang haiwan itu.

Panas, suam-suam dan akhirnya dingin.

Pada 8 Mac 2014 pesawat Malaysia Airlines yang ada 239 orang di perutnya itu ghaib dan teka-teki mengenainya kekal gagal diungkaikan sehingga kini. Lapan belas minggu kemudian kita kehilangan sebuah lagi kapal terbang bersama 298 nyawa penumpang dan anak kapal.

Ia adalah tragedi yang amat hitam buat kemanusiaan.

Nah, sekarang kita kembali ke realiti hari ini. Sehingga tengah hari semalam sebanyak 20,889 kes baru Covid-19 dikesan di seluruh negara. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes itu di Malaysia menjadi 1,224,595.

Daripada jumlah itu 10,177 orang sudah menjadi korban wabak berkenaan. Pernahkah kita terfikir bahawa angka itu sebenarnya bersamaan dengan lebih 34 buah pesawat udara MH17 atau lebih 42 pesawat udara MH370 terhempas?

Jika dibandingkan pula dengan jumlah kes baru semalam saja, angka 20,889 itu menyamai 70 kapal terbang MH17 atau lebih 87 pesawat udara MH370 yang dijangkiti Covid-19?

Jika ia belum cukup mengerikan, lihat pula data ini: secara keseluruhan sehingga semalam sudah 1,224,595 orang disahkan positif Covid-19. Dengan perbandingan penumpang kedua-dua penerbangan itu, ia menyamai 4,109 penerbangan MH17 atau 5,123 penerbangan MH370.

Dan kita masih berbangga bahawa kita sedang berada di landasan yang betul untuk memenangi peperangan ini.

Pada masa sama orang ramai dipaksa melihat bagaimana orang politik yang tua bangka terus bergelut mahu memeluk kuasa seerat-eratnya. Ia adalah pemandangan yang amat memualkan.

Dan kebanyakan politikus itu tanpa aib melacurkan kita - rakyat yang di bawah ini - untuk menjustifikasian setiap keputusan mereka!

Jilat sampai licin

Berpegang kepada jawatan demi rakyat, misalnya. Enggan berundur kerana rakyat, atau mendesak itu dan ini untuk rakyat. Semuanya sama saja memualkan. Kerana kita tahu itu adalah suatu penipuan.

Mana mungkin orang yang bersenang-lenang dengan rumah besar, kasut mahal, baju berjenama luar negara memahami kegetiran penjual keledek goreng di tepi jalan atau pekerja kontrak yang kini tercari-cari peluang mencari rezeki selepas tempat kerjanya terpaksa ditutup.

Sesetengah mereka memang pernah susah. Atau ibu dan bapa mereka pernah susah. Namun selepas mendapat kuasa, mereka menjilat apa saja yang ada di depan sehingga licin.

Dan mereka bercakap tentang rakyat yang merempat? Pembohong adalah kata-kata yang masih amat lunak untuk menggambarkan kejahatan mereka.

Apa yang sedang bergerak - atau digerakkan - sekarang adalah pergulatan orang politik arkaik yang ketandusan naluri kemanusiaan. 

Mereka mungkin tidak setua mana di atas kertas. Mungkin masih muda secara relatif. Namun pemikiran, idea dan kegelojohan kepada kuasa itu tetap menjijikkan.

Sifir dan matlamat mereka dikendong dengan mentaliti purba dan mahu menjadikan orang terbanyak sebagai hamba. Di atas kepala orang awamlah mereka berpijak dari satu posisi ke posisi yang lain.

Dan mereka dipertautkan oleh matlamat yang sama: bergayut selama mungkin pada kuasa.

Apa pilihan yang ada pada orang awam? Tidak banyak, sebenarnya. Kecuali menunggu peluang - kalau ditakdirkan ada - untuk menghukum politikus yang sudah kedaluwarsa (tamat tempoh) itu.

Kecuali kalau ada mana-mana daripada mereka menjanjikan bahawa masa depan negara ini tidak lama lagi akan diserahkan kepada anak muda. Maksudnya, yang muda sejati, bukan acah-acah muda.

Berita baik, berita buruk

Orang politik yang mencecah usia 48 tahun dan ke atas wajib dianggap sudah tua. Kalau berusia 50 tahun mesti dianggap bangka. Dan negara ini wajar diwariskan kepada pemimpin yang muda, membawa idea segar dan lincah bertindak.

Sudah berpuluh-puluh tahun negara ini ditadbir oleh orang tua yang perasan tahu segala-galanya. Dan mereka mencapai nikmat tertinggi dengan kuasa yang ada hingga rakyat tidak dipedulikan langsung.

Memanglah di kebanyakan negara dalam dunia, orang tua sajalah yang berasakan diri mereka bijak lalu berlumba-lumba mahu menjadi ketua. Tetapi kemampuan New Zealand dan Kanada menjadi negara disegani wajar direnung-renungkan.

Jacinda Arden menjadi perdana menteri New Zealand semasa dia berusia 37 tahun, manakala Justin Trudeau diangkat sebagai pemimpin Kanada ketika dia berusia 43 tahun.

Di Finland, Sanna Marin baru berumur 33 tahun semasa dipilih mengetuai kerajaan negara berkenaan.

Berita baiknya ialah, undang-undang atau perlembagaan negara tidak menghalang adanya pemimpin muda dijadikan pelapis untuk diangkat menjadi perdana menteri asalkan usianya melebihi 21 tahun kerana ketika ini itulah had minimum menjadi calon parlimen.

Namun berita buruk untuk kita ialah, setakat ini belum ada mana-mana pemimpin parti - sama ada kerajaan atau pembangkang - menunjukkan keterbukaan memberi peluang kepada orang muda menjadi ketua.

Mereka semuanya sibuk berkejar-kejaran mendapatkan "angka" sambil bersilat lidah dengan menjual kita - rakyat ini - tanpa sedikit pun rasa bersalah atau malu. Kita seolah-olah berlumba-lumba mahu mencontohi Uganda atau Zimbabwe.

Tidak banyak yang dapat diharapkan kerana politik kita ialah politik tanpa malu. Dan hari ini entah berapa banyak lagi pesawat udara seperti MH17 atau MH370 yang 'terhempas' untuk menambah angka-angka mangsa Covid-19.

Dan politikus-politikus tua bangka itu terus berbalas hujah tentang angka, majoriti, menderhaka atau tidak sambil melacurkan nama rakyat.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS