mk-logo
Berita
Hanipa: Macam mana gesa parlimen bersidang segera jadi derhaka?
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 10:07 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin kesal apabila pemimpin kerajaan menyifatkan mereka yang mendesak supaya persidangan parlimen diadakan dengan segera sebagai derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu hadir selepas pemimpin pembangkang dan pelbagai pihak menggesa kerajaan mengadakan sidang parlimen sebelum September untuk undian usul percaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini selepas beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Muhyiddin mendakwa Agong telah memberi perkenan sehingga September, manakala Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang enggan mematuhinya dianggap sebagai menderhaka terhadap Agong.

Pun begitu, Hanipa berkata Muhyiddin telah membuat “dakwaan yang berani" kepada Yang Di-Pertuan Agong dengan mendakwa dia masih mendapat sokongan majoriti walaupun bilangannya tidak bertambah.

“Memandangkan perdana menteri sendiri dengan yakinnya mendakwa bahawa dia telah mendapat sokongan yang diperlukan, secara logiknya dia perlu membuktikannya secepat mungkin.

"Jika tidak, dakwaannya akan amat diragui,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanipa juga berkata setelah kerajaan mendakwa beberapa ahli parlimen BN masih menyokong kerajaan Muhyiddin, beberapa daripada mereka kemudian tampil menafikan dakwaan itu.

Semalam, Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim secara terbuka menafikan dakwaan Ismail bahawa mereka antara 31 ahli parlimen BN yang masih menyokong Muhyiddin.

Terdapat 73 ahli parlimen bukan BN dalam kerajaan PN. Sementara itu, 29 ahli parlimen BN dalam PN selebihnya didakwa menyokong Muhyiddin, menjadikan jumlah 102 ahli parlimen. Ia kurang 111 ahli parlimen untuk mendapatkan majoriti yang cukup.

Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat manakala dua kerusi lagi kosong selepas kematian penyandangnya.

“Setelah seorang perdana menteri itu kehilangan sokongan majoriti, masalah penting seperti itu harus diselesaikan secepat mungkin,” kata ahli parlimen Amanah itu.

Dia juga memberi contoh ketika krisis perlembagaan Perak 2009, di mana kedudukan menteri besarnya ketika itu Mohammad Nizar Jamaluddin ditentukan oleh istana tanpa menunggu persidangan DUN bersidang, selepas dia digulingkan.

“Ia juga mendorong pentingnya kesegeraan dalam hal ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS