mk-logo
Berita
Pemimpin Umno P Pinang letak jawatan ahli lembaga pengarah UPM
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 8:26 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Seorang lagi pemimpin Umno meletak jawatan daripada jawatan kerajaan ekoran keputusan parti itu menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Umno Bahagian Balik Pulau Shah Headan Ayoob Hussain Shah malam tadi mengumumkan peletakan jawatannya selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia.

"Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti," katanya pada hantaran di Facebook malam tadi.

Dia turut berkongsi surat peletakan jawatan dengan serta merta bertarikh semalam.

Shah Headan menyusuli langkah tiga pemimpin Umno lain yang melepaskan jawatan lantikan mereka di beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin mengundurkan diri sebagai pengerusi Boustead Holding Bhd, Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain meletak jawatan sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead dan anggota Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii yang mengundurkan diri sebagai anggota lembaga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Peletakan jawatan tersebut dibuat selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memimpin 11 ahli parlimen parti itu menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Di peringkat kabinet, Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah pada Selasa meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli manakala Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad semalam meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS