Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Covid-19 di Parlimen: Penularan mungkin di surau, tandas - KKM
Diterbitkan:  Aug 6, 2021 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Kemudahan asas di bangunan Parlimen yang dikongsi bersama seperti surau dan tandas dikenal pasti sebagai tempat yang mungkin menyebabkan penularan Covid-19 di situ baru-baru ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini terdapat 85 kes positif berkaitan sidang Parlimen minggu lalu, termasuk 56 kes yang dikesan ketika saringan sebelum sidang dan 17 kes semasa sidang.

"Hasil siasatan KKM setakat ini mendapati besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.

"KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif Covid-19 ini, kontak rapat dan kes baru yang lain kerana kemungkinan akan dilaporkan kerana masih dalam tempoh inkubasi.

"Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang telah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala jalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sidang Parlimen minggu lalu terpaksa ditangguhkan di hari keempat, pada Khamis, selepas pihak berkuasa bimbang dengan risiko penularan wabak di situ.

Kesemua ahli parlimen yang hadir ke sidang pada hari itu, serta pegawai-pegawai bertugas, diarahkan membuat ujian segera.

Sidang yang dijadual bersambung pada Isnin lalu ditangguhkan atas dasar risiko penularan Covid-19.

Menurut KKM, menerusi saringan awal, enam sampel yang diambil berkemungkinan besar adalah varian Delta yang berbahaya.

Menurut Noor Hisham, sampel itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk jujukan genom penuh bagi menentukan ia memang daripada varian tersebut.

"Kita masih menunggu keputusan akhir," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS