Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
20 peratus M40 beralih kepada B40 akibat Covid-19

Sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40 akibat kesan pandemik Covid-19, menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan itu mendedahkan isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 didapati turut terkesan apabila 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan itu beralih kepada kumpulan M40.

"Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus (2019: 16.0 peratus) dan 36.9 peratus (2019: 37.2 peratus).

"Sementara itu, kumpulan T20 memiliki 47.2 peratus pendapatan, meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan tersebut memuatkan dapatan kajian kesan Covid-19 ke atas pendapatan isi rumah serta statistik insiden kemiskinan di Malaysia tahun lepas.

Menurut laporan itu, Mohd Uzir berkata pendapatan purata isi rumah turut mencatatkan penurunan 10.3 peratus iaitu RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

Dia menjelaskan faktor penurunan tersebut disebabkan isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutamanya mereka yang berstatus pekerja dan bekerja sendiri.

"Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran,” katanya.

Ketua perangkawan turut menambah, berdasarkan kajian tersebut, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah, berbanding 405.4 ribu isi rumah pada 2019, dengan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi bagi insiden kemiskinan mutlak iaitu 25.3 peratus (2019: 19.5 peratus).

Secara keseluruhan, dia berkata penularan pandemik Covid-19 memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah, bagaimanapun, keadaan ekonomi dijangka bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi.

Katanya, berdasarkan analisis itu, peranan kerajaan persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah penting dalam mengurangkan kesan pandemik, ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS