Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (kesihatan awam) Dr Chong Chee Kheong berkata peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang berpunca daripada pelonggaran sekatan.
Kenyataan itu selepas jangkitan baru semalam sekali lagi mencatat angka tertinggi iaitu 20,596 kes, dengan lebih separuh (10,712) dikesan di Lembah Klang.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Chong menyenaraikan tiga faktor yang memburukkan lagi krisis.
Faktor pertama, menurutnya, adalah tindakan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Trend peningkatan adalah kesan daripada apa yang berlaku sebulan lalu sebab anda perlu sebut tentang tempoh inkubasi dan juga hakikat yang virus berada dalam komuniti.
Jadi sebulan lalu kita saksikan pelonggaran PKP dan pada masa sama, sektor ekonomi juga diberi kelonggaran bagi membantu orang ramai terus menyara kehidupan," katanya.
Pada 7 Julai, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi kebenaran kepada lebih banyak sektor pembuatan di Selangor untuk beroperasi.
Sepuluh hari kemudian, penguatkuasaan PKP diperketatkan (PKPD) juga dibatalkan, di tengah-tengah peningkatan kes ketika itu.
Chong berkata lagi, dua lagi faktor adalah penularan varian Delta dan sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai.
"Jadi kesan ini dilihat dua minggu dan empat minggu kemudian," katanya lagi.
Berhubung varian Delta, dia membangkitkan sifat varian tersebut yang lebih agresif dan mudah berjangkit.
"Faktor-faktor ini bersama-sama menyebabkan peningkatan kes," katanya lagi.
PANDUANKINI: Risiko dan keberkesanan vaksin - Apa yang diketahui tentang varian Delta setakat ini
Chong yang merupakan Pasukan petugas khas Lembah Klang Besar (GKVSTF) berkata, lebih banyak peralatan dan katil telah disediakan untuk menampung peningkatan pesakit.
Bagaimanapun, katanya, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengurangkan bilangan pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat dimasukkan ke hospital.
Hospital penuh
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha'ari Ngadiman turut memaklumkan keadaan di hospital kerajaan di negeri itu.
Menurutnya, 85 peratus atau lebih katil di kesemua empat hospital Covid-19 telah ditempatkan dengan pesakit setakat 5 Ogos.
Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang dan Hospital Serdang juga penuh sementara Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang dengan kadar penggunaan 96 peratus, katanya lagi.
Kadar itu walaupun dengan penambahan katil, katil ICU dan pangkal saluran oksigen baru-baru ini.