mk-logo
Berita
Pemuda Umno sedih lihat tindakan PM untuk 'kekalkan kuasa'
Diterbitkan:  Aug 6, 2021 11:26 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Pemuda Umno menyatakan rasa "sedih" mereka ke atas Muhyiddin Yassin kerana didakwa sanggup memfitnah seterus politik demi mengekalkan kuasa.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenyataan dibuat presiden Bersatu itu pada 4 Ogos lalu adalah amat serius.

Dengan membuat kenyataan sebegitu, kata Asyraf Wajdi, perdana menteri seolah-olah mewujudkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara selama ini boleh dijual beli.

Ia, katanya, sekali gus merosakkan imej serta integriti mahkamah sebagai institusi yang mendaulatkan keadilan.

“Sedih melihat seorang perdana menteri sanggup bertindak sedemikian rupa demi memastikan dirinya terus kekal berkuasa.

"Kami, Pemuda Umno mendesak agar pihak polis segera menyiasat dakwaan yang boleh dianggap satu fitnah yang mempunyai niat jahat untuk menghina dan mempersendakan seteru politiknya,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, semasa menegaskan bahawa tidak timbul isu dia perlu meletak jawatan, Muhyiddin mendakwa, terdapat pihak tertentu mendesaknya supaya mencampuri urusan mahkamah. 

Desakan itu, tambah Muhyiddin, ialah bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah. Bagaimanapun ahli parlimen Pagoh itu tidak menyebut sebarang nama.

Untuk rekod, beberapa pemimpin kanan Umno yang bertegas mahu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin juga sedang dibicarakan di mahkamah atas beberapa pertuduhan, termasuk pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Antara mereka - yang sering dirujuk sebagai 'kluster mahkamah' - ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung parti terbabit Ahmad Maslan.

Menurut Asyraf Wajdi walaupun tidak menyebut sebarang nama, daripada percakapan Muhyiddin, jelas ia ditujukan kepada Ahmad Zahid dan Najib Razak.

Langkah itu katanya dibuat bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kemampuan kerajaan Perikatan Nasional yang didakwanya gagal memperjuangkan kebajikan rakyat dan menangani pandemik.

“Sedangkan, kedua-dua presiden parti Umno dan mantan presiden Umno sendiri telah memaklumkan berkali-kali mahu berjuang di mahkamah bagi membersihkan nama mereka atas segala pertuduhan yang dihadapi dan tidak akan sesekali mengheret parti,” kata Asyraf.

Bagi mendesak isu tersebut dirungkaikan, kata Asyraf Wajdi, Pemuda Umno di seluruh negara membuat laporan kepada polis dan meminta agar siasatan dibuat ke atas Muhyiddin.

"Pemuda Umno mendesak agar polis dapat segera menyiasat dakwaan yang boleh dianggap fitnah yang mempunyai niat jahat untuk menghina dan mempersendakan seteru politiknya," kata Asyraf Wajdi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS