Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan jenaka rogol: Tak cukup unsur jenayah untuk dakwa di mahkamah - sumber

Polis mendapati tidak tidak cukup unsur jenayah bagi mendakwa seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas awal tahun ini, menurut sumber yang tahu berkenaan kes itu.

Sumber itu berkata, ia menjadi antara sebab mengapa timbalan pendakwa raya memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap guru tersebut.

"Walaupun apa yang dia cakap memang tak ambil kira sensitiviti pelajar perempuan yang ada (dalam kelas), tapi apa yang dia cakap itu tak cukup kuat elemen (jenayah) untuk dakwa di mahkamah.

"Pegawai penyiasat siasat kes ini mengikut beberapa undang-undang, termasuk Seksyen 11, 12 dan 15 Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Soaca) dan juga mengikut Seksyen 509 dan 294 Kanun Keseksaan," katanya yang merupakan seorang pegawai tinggi polis.

Dia enggan namanya didedahkan kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap dengan media berhubung ke ini.

Seksyen 11 Soaca berkenaan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, Seksyen 12 (amang seksual), Seksyen 15 (amang seksual bukan fizikal), manakala Seksyen 509 Kanun Keseksaan pula berkenaan mengaibkan kehormatan menerusi antara lain perkataan atau isyarat, dan Seksyen 294 berkenaan nyanyian lucah.


Tiada tindakan lanjut terhadap guru didakwa buat jenaka rogol dalam kelas


Kes tersebut menjadi perhatian selepas pelajar berusia 17 tahun, Ain Husniza Saiful Nizam membuat dakwaan tersebut di media sosial pada April lalu.

Guru tersebut antara lain didakwa memberitahu pelajar lelaki di kelas bahawa jika mereka ingin merogol seseorang, mereka patut menyasarkan orang berumur 18 tahun ke atas.

Versi berbeza

Mengulas lanjut, sumber itu berkata 17 saksi lain yang dipanggil memberi versi yang sedikit berbeza tentang apa yang berlaku dalam keterangan mereka.

"Menurut saksi, walau cikgu memang ada cakap tentang rogol orang berusia 18 tahun ke atas, (dia juga ingatkan) 'kalau anda rogol, anda akan kena penjara dan rotan'. Ini tak pula disebut (dalam hantaran media sosial).

"Selain pelajar perempuan ini (Ain), ada dua tiga lagi pelajar lain yang setuju dengan dia - rasa itu gangguan seksual.

"Tapi 17 pelajar lagi tak ada yang salah dengan apa yang cikgu cakap," katanya lagi.

Dia berkata lagi, pihak berkuasa juga mengambil kira bahawa guru Pendidikan Jasmani itu membuat kenyataan tersebut ketika sesi pembelajaran berkenaan gangguan seksual di kelas.

Pihak berkuasa juga merujuk salinan mata pelajaran subjek tersebut dalam siasatan, katanya lagi.

Pada masa sama, dia juga setuju bahawa guru tersebut boleh menggunakan kata-kata yang lebih baik dan lebih sensitif ketika menyampaikan perkara itu kepada pelajarnya.

"Dia sudah 21 tahun mengajar, dia patut sampaikan (topik-topik sensitif) dengan lebih baik," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS